Lagu baharu Bimbo ramal COVID-19 30 tahun lalu?

Kemunculan kumpulan trio, Bimbo dari Bandung, Indonesia tular apabila didakwa meramal pandemik COVID-19 menerusi single berjudul Corona Datang yang diciptakan sejak 30 tahun lalu.

Walau bagaimanapun, mengikut laporan KOMPAS.com, dakwaan itu disangkal salah seorang anggotanya, Acil Darmawan Hardjakusumah atau lebih mesra disapa sebagai Acil.

Bukan hanya Acil merasa bingung, malah anggota lain terkejut dengan penularan dakwaan berkenaan. Selain Acil, kumpulan Bimbo juga dianggotai Syam dan Jaka.

“Ini lagu baharu. Bukan lagu yang diciptakan sejak 30 tahun lalu.

“Lagu Corona Datang dituju kepada Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), selepas melihat virus berbahaya COVID-19 menyerang seluruh dunia termasuk Indonesia.

Lagu baharu kumpulan Bimbo, Corona Datang didakwa meramal pandemik COVID-19 yang diciptakan sejak 30 tahun lalu. – Agensi

“Ia dihasilkan atas permintaan Kepala Gugus Tugas COVID-19, Doni Mardo. Saya tidak tahu bagaimana lagu Corona Datang boleh tular dan dimuat naik dalam laman YouTube serta medium media sosial,” katanya ketika dihubungi media.

Acil turut menepis dakwaan lagu Corona Datang dicipta sejak tiga dekad lalu. “Lagu Corona Datang baru sahaja selesai rakaman, belum cukup seminggu proses dilakukan. Saya bingung memikirkannya.

“Bagaimanapun, ia bagus juga untuk mempromosikan lagu ini. Lagu Corona Datang datang daripada inisiatif Bimbo menyingkap penularan pandemik COVID-19.

“Ia sekadar kesedaran, bukan apa-apa. Kami melihat penularan COVID-19 ini sebagai peristiwa besar seluruh dunia dan wabak luar biasa,” kata Acil.

Abang kepada pelakon filem, Adhisty Zara itu berkata, dia turut tertanya siapa penyebar cerita mendakwa lagu Corona Datang dicipta sejak 30 tahun lalu, sedangkan proses rakaman baru selesai, minggu lalu. – Agensi