Lagu ciptaan hanya umum

Kerap mengangkat tema curang dalam setiap lagu ciptaan termasuk single terbaru yang bakal dilancarkan bulan depan, bukanlah bermakna Syamel pernah melalui situasi itu.

Sebaliknya, penyanyi Kau Pun Sama memberitahu, luahannya itu adalah hasil pemerhatian terhadap sikap tidak setia pada pasangan yang dilihat makin menjadi-jadi sekarang.

“Semua orang pernah curang dan hasil kajian menunjukkan 90 peratus pasangan bercinta dalam lingkungan usia 23 hingga 29 tahun berpotensi untuk berlaku curang.

Hubungan mereka ber-antakan kerana sikap tidak setia. Lagu ciptaan saya sangat umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa. Terpulang pada mereka yang mendengarnya. Untuk lagu single baharu ini, saya nyanyikan sebagai seorang yang pernah menjadi mangsa curang,” katanya kepada BH Online.

Tambah pemegang trofi Artis Baharu Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-22 ini, walaupun kekal dengan tema sama, namun lagu Kau Pun Sama dan buah tangan terbaharu yang masih belum diberi judul, tetap berbeza.

Kau Pun Sama kisah curangnya lebih kepada budak nakal. Lagu baharu ni lebih kepada pasangan matang yang tidak setia dalam perhubungan. Saya tak sindir sesiapa. Liriknya tidaklah sensitif manapun,” katanya. Penyanyi berusia 25 tahun ini bakal melancarkan muzik video lagu tebaharu itu serentak hari pelancarannya.

“Saya akan berlakon dalam muzik video lagu ini selepas klip Lebih Sempurna. Buat masa ini, saya masih mencari pelakon wanita yang sesuai untuk digandingkan dengan saya,” katanya. – Agensi

Syamel kerap menggunakan tema curang dalam setiap lagu ciptaannya tidak bermaksud pernah melalui situasi begitu. – Agensi