Friday, April 19, 2024
23.5 C
Brunei

    -

    Lagu Fool tembusi corong radio Jepun

    Kejayaan lagu berbahasa Inggeris, Fool dendangan penyanyi bervokal hebat, Aina Abdul, 28, berjaya menembusi corong radio di Jepun, baru-baru ini.

    Ia sekali gus menguatkan semangat penyanyi kelahiran Negeri Sembilan itu menghasilkan karya yang dapat menembusi pasaran global.

    Aina berkata, dia hanya mengetahui lagu Fool dimainkan di corong radio di negara Matahari Terbit itu menerusi peminat.

    Tidak menafikan terkejut, Aina juga terharu dengan berita gembira yang dikongsi peminatnya itu.

    “Saya memang tidak tahu lagu Fool diputarkan di corong radio di Jepun. Sebaliknya, diberitahu peminat kerana mereka selalu menggunakan media sosial.

    Aina meletakkan harapan tinggi apabila berjaya membolosi pentas AJL 36 menerusi dua lagu, Sepi dan Nafas Cinta berduet bersama Khai. – Agensi

    “Selepas diselidik, ada seorang hamba Allah berkongsi menerusi laman Twitter mengenai perkara ini.

    “Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana lagu Fool boleh diputarkan di sana, namun, apa pun saya tetap bersyukur.

    “Walaupun sekali imbas sahaja lagu Fool dimainkan, hanya dalam tempoh lebih tiga minit, itu pun sudah memadai. Saya tentunya bersyukur memperoleh peluang tidak disangka-sangka,” katanya kepada BH Online.

    Penyanyi lagu Sembah dan Sepi itu berkata, ini adalah satu daripada impian mengetengahkan karya ke peringkat global.

    “Ada sedikit kejayaan diperoleh, walaupun hanya pencapaian kecil. Saya terharu dengan rezeki yang tidak nampak, namun, sentiasa dikurniakan Allah.

    Katanya, pengiktirafan kecil diterima sedikit sebanyak membakar semangat menghasilkan lebih banyak lagu Inggeris pada masa akan datang.

    Bagaimanapun, katanya, dia tidak mahu terburu-buru menghasilkan terlalu banyak lagu Inggeris, sebaliknya lebih gemar mengatur langkah demi langkah.

    “Saya melihat lagu Fool dimainkan di corong radio di luar negara, saya lebih bersemangat menghasilkan lebih banyak lagu Inggeris. Namun, bukanlah bermaksud saya terburu-buru menghasilkan banyak lagu dalam masa terdekat.

    “Saya juga perlu fokus kepada lagu lain seperti lagu ketuhanan untuk Ramadan, diikuti lagu Aidilfitri.

    “Saya mempunyai perancangan menghasilkan lagu berentak balada. Selepas itu, barulah saya akan memberikan tumpuan kepada lagu Inggeris.

    “Jika boleh, saya mahu peminat mengenali Aina Abdul bukan sebagai penyanyi lagu Melayu sahaja, tetapi diingati sebagai penyanyi bahasa lain, termasuk Inggeris,” katanya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...