Kewujudan pelbagai genre lagu di pasaran muzik tanah air sama sekali tidak menggugat permintaan irama nasyid.
Mengakui lagu nasyid masih relevan, ketua kumpulan Inteam, Mohd Syahril Abdul Khalid berkata lagu ketuhanan masih mendapat tempat di hati peminat dan terus diminati sehingga kini.
“Irama nasyid masih relevan… walaupun tidak meriah seperti dulu, tapi Alhamdulillah sentiasa ada jemputan terutamanya dalam perayaan-perayaan besar Islam seperti Awal Muharam, Maulidur Rasul dan sebagainya.
“Kami sentiasa berada di situ untuk menyampaikan nasihat dan mesej-mesej Islam,” katanya kepada mStar.
Ini terbukti apabila kerjasamanya bersama penyanyi, Khai Bahar menerusi lagu Setanggi Syurga 2020 menerima sambutan baik daripada peminat.
Malah gandingan terbaharu Inteam bersama kumpulan VE dalam lagu Allah Allah Aghisna yang dirakam semula turut menjadi trending di media sosial.
“Alhamdulillah kedua-dua lagu menerima sambutan sangat baik dan ramai menggunakan lagu kami di media sosial. Jelaslah muzik nasyid masih mempunyai permintaan dan akan kekal relevan selamanya,” ujarnya.
Selain Syahril, Inteam turut dianggotai Muhammad Hazamin Harun, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman
Dalam perkembangan lain, Inteam juga giat menjalankan kerja-kerja amal bersama beberapa pertubuhan antara-nya Pertubuhan Dhuafa Sejahtera. – Agensi
