Lagun bertukar merah muda akibat pencemaran

TRELEW, ARGENTINA, 26 JULAI – Sebuah lagun di selatan rantau Patagonia di Argentina telah bertukar menjadi merah muda dalam fenomena yang dipersalahkan oleh pakar dan aktivis ke atas pencemaran berpunca bahan kimia yang digunakan untuk mengawet udang untuk dieksport.

Warna tersebut datang daripada sodium sulfit, sejenis produk anti-bakteria yang digunakan dalam kilang ikan, di mana pembuangannya bertanggungjawab terhadap pencemaran sungai Chubut yang mengalir ke lagun Corfu dan sumber air lain di kawasan itu, menurut aktivis.

Penduduk telah lama mengadu tentang bau busuk dan isu alam sekitar lain yang timbul di sekitar sungai dan lagun.

“Mereka yang harus mengawal adalah mereka yang membenarkan keracunan penduduk,” beritahu aktivis alam sekitar Pablo Lada kepada AFP, menyalahkan kerajaan atas pencemaran tersebut.

Lagun itu bertukar menjadi merah muda pada minggu lalu dan masih belum kembali kepada keadaan normal semalam, kata Lada, yang tinggal di bandar Trelew, tidak jauh dari lagun dan kira-kira 870 batu dari selatan Buenos Aires.

Jurutera dan pakar virologi Frederico Restrepo memberitahu AFP perubahan warna itu berpunca daripada sodium sulfit dalam bahan buangan ikan, yang mengikut undang-undang, harus diproses sebelum dibuang. Lagun itu, yang tidak digunakan untuk rekreasi, menerima bahan buangan dari taman perindustrian Trelew dan pernah menjadi warna fuchsia sebelum ini. – AFP

Pemandangan udara sebuah lagun yang bertukar merah muda disebabkan bahan kimia yang digunakan mengawet udang di kilang ikan di Trelew, wilayah Chubut, Argentina. – AFP