Lagun Venice: Batu permata yang diabaikan

VENICE – Venice mungkin terkenal dengan Dataran Saint Mark’s atau pun Jambatan Sighs, namun bandar Itali itu mempunyai satu lagi permata yang sering diabaikan iaitu lagun yang cantik.

Pernah menjadi tempat tinggal kepada pelbagai jenis spesies ikan dan burung, campur tangan manusia telah menambah kandungan garam dalam air secara mendadak.

Bagaimanapun, satu projek alam sekitar telah dilancarkan untuk memulihkannya kepada keadaan aslinya sebelum ini, dengan memperkenalkan lebih banyak air tawar.

“Ideanya adalah untuk mewujudkan semula persekitaran yang telah lenyap dalam tahun-tahun sebelumnya, disebabkan sungai diubah haluan keluar dari lagun,” beritahu Rosella Boscolo Brusa, pemimpin projek, kepada AFP.

Perubahan haluan tersebut dilakukan untuk membersihkan kawasan paya dan memerangi penyakit malaria, kata Brusa, seorang penyelidik di Institut Lebih Tinggi untuk Perlindungan dan Penyelidikan Alam Sekitar (Ispra).

Carlo Marchesi (kiri) dan Adriano Croitoru memindah mensiang di lagun Venice, sebagai sebahagian daripada projek yang bertujuan memulihkan persekitarannya dengan menambah air tawar, berhampiran Venice. – AFP
Andrea Bonometto (belakang) dan Rossella Boscolo Brus bergambar dalam bot di lagun Venice. – AFP
Nelayan Andrea Salmaso menunjukkan rumput laut yang ditanam semula di lagun Venice. – AFP
Luca Scapin (kiri) dan Riccardo Fiorin menggunakan jaring tangan untuk mengumpul sampel ikan di Lagun Venice untuk mengawasi evolusi spesies, sebahagian daripada projek pemulihan alam sekitar berhampiran Venice. – AFP

Namun tindakan tersebut mempunyai kesan yang tidak dijangkakan.

“Ia mendorong kepada peningkatan air bergaram dan kemerosotan dalam jumlah mensiang, habitat amat berharga untuk spesies dilindungi, atau spesies yang mempunyai kepentingan komersial,” kata beliau.

Suasana adalah aman di lagun, satu-satunya bunyi yang kedengaran datang sekali-sekala dari bot pelancong ataupun panggilan burung rapang, burung kedidi atau bangau.

Pakar Adriano Sfriso, daripada Universiti Ca Foscari di Venice, berkata lebih separuh daripada lagun terdiri daripada dasar rumput mensiang dan tanah paya masin – kira-kira 17,000 hektar kesemuanya.

Daerah Cannaregio di bandar itu malah dinamakan sempena tumbuhan – ‘canna’ Bahasa Itali untuk ‘mensiang.’

Hari ini, hanya 34 hektar kawasan yang masih tinggal, kata beliau.

Mensiang boleh bertahan sedikit kemasinan.

Namun di kawasan dalam lagun, di mana air harus berada di paras di antara sifar dan 15 pada skala kemasinan, ia mencecah 30 – tidak jauh dari jumlah air yang ditemui dalam air laut.

Digelar ‘Segarkan Kehidupan Lagun’, projek itu, dilancarkan pada tahun 2017, mengubah haluan aliran air tawar dari Sungai Sile ke dalam lagun.

Sebuah terusan buatan manusia, beroperasi sejak bulan Mei, membenarkan aliran air diubah mengikut keperluan projek atau arus pasang.

Perintang atau sekatan yang dibuat daripada sabut kelapa terbiodegradasikan membendung air tawar di kawasan sasaran dan membantu mensiang membesar.

Pada keseluruhannya, projek itu bertujuan memulihkan kira-kira 20 hektar mensiang, menurut Sfriso.

Penanam Carlos Marchesi dan Adriano Croitoru mencabut mensiang dengan teliti, berhati-hati supaya tidak mengganggu burung-burung di sana, sebelum mendayung beberapa kilometer dari kawasan itu untuk menanam semula gumpalan rumput berkenaan.

“Kami akan membina semula lagun seperti mana yang dilakukan oleh moyang kami, lebih kaya dalam ikan dan burung,” kata Marchesi, 56.

Nelayan tempatan dan pemburu burung juga diajak untuk membantu memindahkan rumput laut yang akan mempercepat lagi kepulangan tumbuhan akuatik.

“Lagun merupakan kehidupan kami, dunia kami,” kata Massimo Parravicini, ketua persatuan nelayan dan pemburu amatur utama di kawasan itu.

“Jika kami memeliharanya, kami boleh menikmatinya seberapa banyak mungkin, dan mewarisinya kepada anak-anak kami,” kata lelaki berusia 58 tahun itu, yang sering kali menawarkan khidmat sukarela dalam projek itu, yang digambarkannya sebagai ‘asas kepada ekosistem.’

Kemasinan sentiasa dipantau, begitu juga dengan kualiti air, tumbuh-tumbuhan dan juga fauna. Satu jaringan besar diheret menegak menerusi air sama seperti kaedah penangkapan seine. Satu kumpulan ditugaskan untuk mengira spesies.

Sesetengahnya, seperti rumput gobi, adalah spesies dilindungi, sementara yang lainnya, termasuk ikan laut, ikan belanak, ikan flounder atau ikan branzino, adalah penting untuk penangkapan ikan secara kecil-kecilan, kata Luca Scapin, juga penyelidik di Universiti Ca Foscari.

Projek itu, disokong oleh Suruhanjaya Eropah, juga bertujuan menarik burung-burung seperti burung pucung ungu.

Keputusannya akan dikongsi bersama kawasan yang menghadapi isu yang sama, dari Hyeres di Perancis, ke Albufera di Sepanyol, dan Delta Nestos dan Porto Lagos di Greece. – AFP