Lahad Datu miliki potensi besar pelancongan

LAHAD DATU, 18 OGOS – Daerah Lahad Datu memiliki pelbagai potensi destinasi untuk industri pelancongan antarabangsa, kata Pengurus Sail Malaysia Sazli Kamal Basha.

Beliau berkata, terdapat banyak lokasi menarik di daerah itu, sama ada di laut mahu pun daratan termasuk Pusat Perlindungan Hidupan Liar Tabin dan Lembah Danum.

“Rakyat Malaysia perlu melancong ke Sabah dan daerah ini banyak tempat menarik…potensi pelancongan daerah ini lebih besar daripada potensi di Johor mahupun Pahang,” katanya ketika ditemui media dalam satu program Pelayaran Malaysia Laluan ke Timur, Perhimpunan Kapal Layar 2020, di sini.

Katanya Lahad Datu juga berpotensi menjadi destinasi pelayaran di Malaysia, bagi para pelayar antarabangsa, kerana keindahan flora dan fauna yang terdapat di daerah itu.

Namun, Sazli berkata untuk perkara itu infrastruktur seperti marina, jeti kapal layar atau pangkalan untuk membaiki bot, perlu dibina di  Lahad Datu untuk pelayar berlabuh.

“Berhubung soal keselamatan, kawalan di perairan oleh pasukan keselamatan yang diselaraskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), mampu memberi keyakinan kepada pelayar untuk belayar,” katanya.

Mengenai Perhimpunan Kapal Layar 2020, seramai 15 pelayar antarabangsa dari tujuh negara yang terkandas di Malaysia selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas, singgah di perairan Lahad Datu pada Ahad lalu, dan melawat beberapa destinasi menarik antaranya W Bay Payang, di Silam milik Wong Yu Chun.

Enam kapal layar mendapat kebenaran dari Jabatan Laut Malaysia ialah pelayar dari Australia, United Kingdom, New Zealand, Belanda, Afrika Selatan, Peru dan Filipina, dan akan bergerak ke Kota Kinabalu dan Tawau selepas ini. – Bernama