Lahar dikhuatiri mengalir ke daratan

TODOQUE, PULAU CANARY, 23 SEPT – Pergerakan aliran lahar dari ledakan gunung berapi di Pulau Canary, Sepanyol sudah mulai perlahan namun menimbulkan keraguan hari ini sama ada ia akan terus mengalir ke daratan dan memusnahkan lebih banyak rumah daripada sebaliknya ke laut.

Aliran lahar yang mulai bergerak perlahan kira-kira empat meter sejam telah mencapai ke daratan kelmarin. Pada Isnin, sehari selepas ledakan berlaku di pulau La Palma, ia bergerak selaju 700 meter sejam.

Ketika ia bergerak perlahan, lahar semakin menebal. Di tempat-tempat lain ia meninggi sekitar 15 meter, kata pihak berkuasa. Lahar itu kini meliputi 166 hektar kawasan itu dan telah menenggelamkan 350 buah rumah.

Dengan pergerakan itu, ia memberi lebih banyak masa kepada penduduk di bandar tersebut untuk menyelamatkan barangan mereka dengan bantuan pasukan polis Guardia Civil yang mengiringi ke rumah mereka di Todoque, dekat pantai, pada pagi ini.

Guardia Civil berkata aktiviti seismik yang masih kuat di kawasan itu, sebelum ledakan kini sudah stabil.

Lahar lebur, debu dan asap terus dimuntahkan dari kawah gunung berapi, meledak kira-kira 4,200 meter ke udara, kata Institut Vulkanologi Pulau Canary.

Bencana itu turut menimbulkan kebimbangan sama ada ruang udara di pulau itu akan kekal dibuka.

ENAIRE, yang menguruskan ruang udara Sepanyol, berkata dua kawasan di kawasan terjejas telah diumumkan zon tidak boleh terbang bagi membenarkan perkhidmatan kecemasan untuk beroperasi secara bebas. Beberapa penerbangan masuk dan keluar dari La Palma telah ditangguhkan awal hari ini. – AP

Para jurnalis membuat laporan mengenai kawasan itu semasa jelajah media dekat gunung berapi Pulau La Palma, Sepanyol pada 22 September. – AP