Oleh Normazlina M. D.
TUTONG, 13 April – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Radio Televisyen Brunei (RTB), Tabung Amanah Pekerja (TAP) serta institusi-institusi dan agensi-agensi berkenaan, hari ini, telah mengadakan jerayawara yang keempat bersempena dengan Hari Menabung Kebangsaan 2017 di Ma’had Islam Brunei.
Hadir selaku tetamu kehormat pada jerayawara kali ini ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong yang juga selaku penghulu Mukim Tanjong Maya dan Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit selaku penghulu Mukim Telisai.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan AMBD, Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Daerah Tutong.
Dengan tema ‘Generasi Celik Kewangan’, jerayawara berkenaan diharap akan dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menabung, pandai berdikari dari segi kewangan dan seterusnya untuk meningkatkan kesedaran para penuntut mengenai cara-cara menangani isu-isu kewangan.


Jerayawara berkenaan adalah selaras dengan usaha AMBD untuk membangunkan generasi yang celik kewangan dan juga matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk Negara Brunei Darussalam mempunyai ekonomi yang dinamik dan mapan serta rakyat dan penduduk yang berkemahiran tinggi.
Seramai 100 orang penuntut dari sekolah-sekolah menengah di daerah ini telah dijemput menghadiri jerayawara tersebut di mana mereka menyertai beberapa permainan dan aktiviti-aktiviti interaktif yang bertemakan pengurusan kewangan dan pengenalan mata wang yang dikendalikan oleh AMBD, TAP, Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Insurans TAIB dan Junior Achievement.
Jerayawara tersebut merupakan kali keempat diadakan menerusi siri jerayawara-jerayawara Hari Menabung Kebangsaan 2017 dan selepas ini ia akan diadakan lagi di Daerah Temburong pada 18 April ini.
Bersempena Hari Menabung Kebangsaan 2017, beberapa acara lain juga akan diadakan termasuk Pesta Ria Kewangan di Jerudong Park Colonnade pada 30 April bermula jam 2 petang hingga 10 malam yang akan menampilkan pelbagai program keluarga dan aktiviti interaktif yang bertemakan ‘Pengurusan Kewangan secara Berhemat’ dan Pameran Kewangan pada 20 Mei depan di Airport Mall.