Lahir generasi celik kewangan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mac – Projek Pendidikan Asas Literasi Kewangan dan Keusahawanan dalam Kalangan Kanak-kanak bermatlamat untuk menghasilkan generasi-generasi yang celik kewangan di samping mendedahkan mereka dalam bidang keusahawanan.

Menerusi projek itu, ia diharap akan dapat membantu meningkatkan kesedaran terhadap generasi muda mengenai kepentingan dalam mengurus kewangan masing-masing dan seterusnya dapat memberikan motivasi kepada mereka untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Perkara ini adalah selaras dengan matlamat negara melalui Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk menghasilkan ekonomi yang dinamik dan mapan serta rakyat dan penduduk yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi,” jelas Timbalan Pengarah dan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Haji Tassim bin Haji Abu Bakar ketika berucap pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi Projek Pendidikan Asas Literasi Kewangan dan Keusahawanan dalam Kalangan Kanak-kanak yang berlangsung di Sekolah Rendah Rimba II, hari ini.

Dr Haji Tassim berkata dengan adanya projek itu, ia akan dapat membantu generasi muda untuk membuat persiapan dalam menghadapi cabaran ekonomi yang akan datang.

“Oleh itu, saya berharap generasi muda khususnya murid-murid yang terlibat dalam projek ini dapat mengaplikasikan apa yang telah diajarkan kepada mereka di kemudian hari,” ujarnya.

Dr Siti Norkhalbi menyampaikan sijil kepada salah seorang murid yang menyertai projek berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta projek ialah Pengarah Akademi Pengajian Brunei, UBD, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah dan Pengarah Urusan Junior Achievement Brunei, Louis Tan.

Projek Pendidikan Asas Literasi Kewangan dan Keusahawanan dalam Kalangan Kanak-kanak telah berjalan selama empat minggu yang bermula pada 16 Februari hingga 11 Mac di mana ia merupakan salah satu projek di bawah Modul PB-4307 yang dikhususkan bagi mahasiswa dan mahasiswi Tahun 4, Akademi Pengajian Brunei.

Pelaksanaan projek selama empat minggu itu melibatkan kira-kira 50 orang murid Tahun 5 dari Sekolah Rendah Rimba II di mana projek itu dihasratkan untuk memberikan pendedahan kepada para murid mengenai pendidikan asas literasi kewangan dan juga untuk memperkenalkan kanak-kanak terhadap bidang keusahawanan serta untuk menarik minat mereka untuk menceburkan diri dalam bidang berkenaan.

Projek itu dijalankan melalui Program More Than Money iaitu program yang diperkenalkan oleh Junior Achievement Brunei.