Lahir generasi celik sejarah

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Pusat Sejarah buat julung-julung kalinya menganjurkan Pameran Bergerak Sejarah yang membawa tema ‘Generasi Celik Sejarah’ di Sekolah Rendah Putat, hari ini.

Pameran berkenaan diisikan dengan kuiz dan taklimat yang disampaikan oleh Ketua Unit Grafik dan Ilustrasi dan Pameran, Haji Ali bin Abdul Rahim.

Menurut kenyataan Pusat Sejarah, pameran berkenaan merupakan salah satu cabang pendekatan bagi memasyarakatkan sejarah Brunei kepada para pelajar khususnya peringkat sekolah rendah di seluruh negara sebelum mereka berpindah ke peringkat menengah.

Ia juga merupakan pendekatan yang lebih mudah difahami dan diikuti oleh para pelajar sekolah rendah kerana ia mempamerkan kreativiti atau ilustrasi pelukis dengan menggambarkan peristiwa sejarah yang berlaku.

Objektif pameran adalah untuk mengembangkan bakat dan minat para pelajar dalam bidang sejarah di samping memberi kesedaran kepada generasi muda tentang kepentingan mempelajari dan mengetahui sejarah.

Antara murid yang hadir mendengarkan taklimat tersebut.
Antara murid yang hadir mendengarkan taklimat tersebut.

Sasaran utama pameran ini adalah para pelajar dan ia akan diadakan di setiap daerah di sekolah-sekolah yang terpilih secara berperingkat bagi tahun 2016-2017 yang dihasratkan untuk menjadi platform kepada para pelajar sekolah rendah untuk memahami dan meminati mata pelajaran Sejarah dengan lebih dekat menerusi bahan-bahan yang dipamerkan.

Pusat Sejarah dalam kenyataannya menyatakan bahawa pameran berkenaan dihasratkan dapat memberi pendedahan positif atau pengetahuan berguna kepada generasi muda khususnya para murid sekolah rendah tentang kepentingan mempelajari dan mengetahui sejarah serta pentingnya pelajaran sejarah terhadap pembangunan negara.

Guru Besar Sekolah Rendah Putat, Hajah Masnoh binti Haji Mahali ketika ditemu bual berkata, aktiviti anjuran Pusat Sejarah ini sangat bagus sekali dan perlu didedahkan kepada kesemua sekolah.

Dengan adanya pameran ini, tambahnya, murid-murid akan lebih memahami sejarah Brunei memandangkan sekolah berkenaan tidak mempunyai mata pelajaran Sejarah, yang diganti dengan mata pelajaran Social Studies dan MIB. Dengan adanya pendedahan seperti ini para murid akan mendapat sumber ilmu sejarah yang sangat bermanfaat.

Seramai 63 orang murid Pra hingga Tahun 6 dan para ibu bapa hadir pada sesi taklimat dan pameran berkenaan.