Wednesday, October 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lahir huffaz progresif

    Oleh Yusrin Junaidi

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) diharap akan meneruskan usaha ke arah menjadikannya sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang mampu melahirkan insan terpelajar bagi mengisi ruang dan pelosok ketamadunan ummah yang terbaik dan mulia di sisi masyarakat.

    “Sesuai dengan usianya yang matang, saya penuh yakin ITQSHHB akan terus berkembang maju sebagai sebuah institusi hafazan Al-Quran yang terunggul dan mampu melahirkan lebih ramai huffaz yang profesional, progresif dan kompetitif sejajar dengan perkembangan dan keperluan semasa,” sabda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri semasa berkenan berangkat menyempurnakan penganugerahan Syahadah (sijil) Diploma Aliyah Qira’at kepada 17 graduan pada Majlis Haflut Takharruj ke-6 ITQSHHB.

    Berangkat sama pada majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dalam sabdanya juga menekankan bahawa pencapaian ITQSHHB sepanjang tempoh berkenaan bukan sahaja tertumpu kepada kejayaan peranan terasnya sahaja, malah pada setiap bulan Ramadan terdapat peningkatan permintaan para pelajar institut ini untuk menjadi imam sembahyang sunat tarawih di masjid-masjid.

    “Kita turut difahamkan bahawa tahun ini, ITQSHHB juga telah dapat memenuhi permintaan dari Laos untuk menghantar seorang pelajar sebagai imam bagi sembahyang sunat tarawih.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan sabda.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berkenan menyempurnakan penganugerahan Syahadah (sijil) Diploma Aliyah Qira’at kepada salah seorang graduan pada Majlis Haflut Takharruj ke-6 ITQSHHB.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan sijil Diploma ‘Aliyah Qira’at kepada salah seorang penerima.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan sijil Diploma ‘Aliyah Qira’at kepada graduan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung menandatangani lembaran kenangan.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah berserta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung bergambar ramai bersama para graduan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berserta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung menyaksikan Pameran sempena Sambutan Jubli Perak 25 tahun Penubuhan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berserta DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan beramah mesra semasa melawat ke pameran berkenaan.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berserta DYTM Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan dijunjung berangkat bagi menyaksikan pameran.

    “Pencapaian ini amat membanggakan dan boleh dijadikan sandaran institut dalam merencana dan menyusun atur hala tuju program pengajian yang serba progresif serta saling mendukung usaha ke arah mencapai wawasan Brunei 2035,” sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.

    Dalam hal berkenaan, ITQSHHB disarankan untuk terus berusaha dengan mengambil langkah-langkah yang perlu melalui penilaian dan pengemaskinian yang bersesuaian ke atas program yang dijalankan termasuk keperluan dari sudut struktur fizikal dan- kemudahan sedia ada dengan mengambil kira kecenderungan kemasukan penuntut baharu yang semakin meningkat.

    Semasa bersabda, Duli Yang Teramat Mulia juga antara lain mengucapkan tahniah kepada graduan dan setinggi-tinggi penghargaan juga kepada ibu bapa dan penjaga di atas kejayaan anak-anak mereka.

    “Kejayaan graduan sudah tentu juga merupakan kejayaan institusi ini dalam mengangkat martabat dan mutu pendidikan negara, khasnya dalam bidang qiraat di samping bidang-bidang syariah dan usuluddin termasuk bidang ilmiah yang lain.

    “Justeru, para graduan janganlah sesekali melupakan pengorbanan mereka yang sentiasa mendoakan kejayaan mereka baik dalam bidang pendidikan mahupun bidang kerjaya yang diceburi,” sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.

    Terdahulu, keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) Berakas itu dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman serta ahli-ahli lembaga dan jawatankuasa akademik dan peperiksaan institut berkenaan.

    Daripada 17 graduan yang menerima Syahadah Diploma pagi tadi, sembilan daripada mereka menerima pangkat Mumtaz, tiga menerima pangkat Jayyid Jiddan, dua menerima pangkat Jayyid dan tiga lagi menerima pangkat Maqbul sebagai pengiktirafan atas kejayaan mereka dalam bidang hafazan Al-Quran dan ilmu Qiraat.

    Selepas majlis Pengurniaan Syahadah Diploma kepada para graduan selesai, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung untuk menyaksikan Pameran Sempena 25 Tahun Penubuhan ITQSHHB.

    Majlis pagi tadi dimulakan dengan persembahan hafazan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah An-Nazi’at ayat 15 hingga ayat 46 riwayat As-Susiy yang disampaikan oleh Awang Muhammad Yusrun bin Haji Jahari, sementara inti sari ayat dibacakan oleh Awang Muhammad Hazri bin Haji Muhammad Hamzani diikuti dengan sembah alu-aluan daripada Menteri Hal Ehwal Ugama.

    Selain itu, majlis pagi tadi turut menyaksikan tayangan video bertajuk ‘25 Tahun Kecemerlangan ITQSHHB’ sempena 25 tahun penubuhannya.

    Doa Selamat pula dibacakan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal.

    Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ugama dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan, sejak penubuhan ITQSHHB pada tahun 1993, ia telah menerima kemasukan 1,148 orang pelajar terdiri daripada 671 lelaki dan 477 perempuan. Mereka diterima belajar setelah menjalani ujian kelayakan yang diperlukan, yakni tidak secara automatik menurut kelayakan peringkat tertentu persekolahan semata-mata.

    “Sesungguhnya ITQSHHB yang berprestij dan tunggal di negara ini telah mendapat perhatian dari luar negara, khasnya daripada kalangan ilmuwan agama Islam yang mengetahuinya atau sempat mengunjunginya,” sembah Yang Berhormat Pehin.

    “Mereka menghargai, sekali gus mengaguminya. Mereka juga melihatnya sebagai suatu manifestasi kepimpinan cemerlang lagi bijaksana raja Brunei yang berwibawa memimpin rakyat dan negaranya yang berkebajikan dengan pegangan kuat kepada ajaran Islam.

    “Seterusnya kita bersyukur menyaksikan kemajuan pengajian hafazan Al-Quran ITQSHHB daripada setakat mengajarkan hafazan Al-Quran sehingga meningkat ke tahap pengajian ilmu qiraat Al-Quran.

    “Semenjak pengajian qiraat peringkat Diploma ‘Aliyah dimulakan pada tahun 2010, sudah ada seramai 88 orang graduannya, termasuk 17 orang graduan hari ini,” jelas Yang Berhormat Pehin.

    Haflut Takharruj diadakan bagi meraikan graduan Diploma ’Aliyah Qiraat sekali gus merealisasikan visi institut berkenaan sebagai sebuah institusi tahfiz dan perkembangan Al-Quran yang terunggul di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.

    Penubuhan ITQSHHB adalah atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-46 pada 15 Julai 1992 dan pada 1 Januari 1993, ITQSHHB secara rasmi ditubuhkan dengan pengambilan pertama pelajarnya seramai 45 orang.

    ITQSHHB merupakan sebuah institusi pengajian tahfiz Al-Quran di peringkat menengah dan diploma yang menggabungkan hafazan Al-Quran dan ilmu-ilmu Al-Quran sebagai dasar di samping mata pelajaran yang lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda