Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Kilanas telah menutup majlis tadarus sepanjang malam di bulan Ramadan dengan majlis khatam Al-Quran yang berlangsung di masjid berkenaan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar.
Majlis tersebut merupakan aktiviti tahunan yang berobjektif untuk memberi peluang dan perangsang kepada ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid dan jemaahnya membiasakan diri dengan Al-Quran.
Di samping itu, ia juga bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang lancar dan gemar membaca Al-Quran terutamanya dalam bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan serta memupuk hubungan baik, mesra dan erat antara ahli jawatankuasa takmir masjid dengan semua jemaah masjid khasnya dan penduduk kampung sekitar amnya.
Pada tahun ini, majlis telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan utama pembacaan Al-Quran iaitu bahagian dewasa, bahagian belia masjid, kanak-kanak lelaki, Muslimah masjid dan beliawanis Muslimah masjid yang bertujuan untuk kesempurnaan dan kelancaran pembacaan.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli jawatankuasa tertinggi takmir masjid iaitu Penaung II, Haji Musa bin Haji Mantok, Ketua Kampung Kilanas, Haji Mohd Rais bin Haji Sabtu selaku penasihat I dan penasihat-penasihat jawatankuasa takmir masjid yang lain serta para jemaah masjid di sekitar Kampung Kilanas.
