Thursday, April 18, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Lahir pelapis baharu dalam pengurusan jenazah

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Buat julung kalinya, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bersama Jawatankuasa Takmir Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas telah menganjurkan Kursus Fardu Kifayah bagi Pengurusan Jenazah.

    Seramai 26 orang peserta lelaki telah menyertai kursus dua hari berkenaan yang bermula kelmarin di masjid tersebut, dan diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian sijil serta cenderahati kepada fasilitator kursus, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sijil ialah Penolong Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali.

    Kursus berkenaan telah dibukakan kepada penduduk Mukim Kilanas sahaja, termasuk Kampung Kilanas, Jangsak, Tanjung Bunut, Bebatik Kilanas, Bunut, dan Bengkurong.

    Objektif kursus adalah bagi melahirkan pelapis baharu dalam pengurusan jenazah dan menerapkan ilmu khususnya dalam melaksanakan pengurusan jenazah kepada masyarakat terutamanya golongan muda dalam aspek pengurusan jenazah.

    Penolong Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta.
    Sesi bergambar ramai para peserta bersama tetamu kehormat majlis.

    Di samping itu, ia juga menanamkan rasa tanggungjawab untuk sama-sama mengendalikan pengurusan jenazah dan menyemai kepercayaan masyarakat terhadap penglibatan golongan ahli jawatankuasa takmir dan para belia dalam menguruskan jenazah.

    Pegawai Pemantau Zon Brunei 5, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Ghani semasa ditemui mengongsikan bahawa beberapa orang peserta berasa bersyukur kerana kursus tersebut telah diadakan kerana tidak sentiasa perkongsian ilmu dalam pengurusan jenazah itu diadakan.

    “Jadi dengan adanya kursus-kursus itu, boleh mengingat-kan semula ilmu yang telah mereka ada dan pelajari sebelum ini serta mudah mereka ingati semula.

    “Mereka juga berterima kasih kerana jika ada ahli keluarga nanti yang meninggal
    dunia, ia sedikit sebanyak dapat membantu dalam menguruskan khususnya mengafankan, memandikan jenazah dan seterusnya menurunkan jenazah ke liang lahat,” ujarnya.

    Menurut Haji Abdul Aziz lagi, mereka merancang untuk melanjutkan acara tersebut ke daerah-daerah lain.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...