Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Awang Ahmad Zulwaqar bin Suhaili dan Dayangku Amal Zahirah binti Pengiran Haji Jofri masing-masing muncul juara qari dan qariah dalam Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan (MTQBK) yang telah diadakan di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), malam tadi.
Tempat kedua bagi bahagian qari pula dimenangi oleh Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri dan Awang Muhammad Sa’dun bin Suhaili yang merupakan johan qari tahun lalu berada di tempat ketiga.
Sementara itu, bagi bahagian qariah, tempat kedua dimenangi oleh Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri dan diikuti oleh Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Marjuki yang merupakan johan qariah tahun lalu, di tempat ketiga.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir ialah Setiausaha-setiausaha Tetap di KKBS, Haji Noor Jusmin bin Haji Abdul Samad dan Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.




Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Zafri bin Haji Mohamed, selaku Pengerusi Majlis dalam ucapannya menjelaskan bahawa pada tahun ini, sebanyak 101 penyertaan dari keempat-empat daerah telah diterima, yang menurutnya terdapat peningkatan berbanding dengan 98 orang peserta pada 2016 dan 77 peserta pada tahun 2015.
Daripada jumlah berkenaan, seramai 60 orang adalah peserta lelaki dan 41 lagi peserta perempuan.
“Penyertaan di separuh akhir juga telah meningkat kepada 36 orang peserta berbanding sebelumnya 34 orang sahaja dengan tujuan memberikan peluang kepada qari dan qariah yang berpotensi untuk bertanding dalam acara yang lebih formal di samping mengasuh bakat yang mereka miliki dalam aktiviti yang sangat bermanfaat ini,” tambah beliau.
Seramai 10 orang peserta iaitu empat qari dan empat orang qariah yang terpilih di peringkat separuh akhir dan dua orang johan menunggu (seorang qari dan seorang qariah) daripada musabaqah tahun lalu telah memperdengarkan bacaan masing-masing di peringkat akhir kelmarin.
Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dikepalai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Ali Yussof bin Haji Arshad dan diikuti dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis yang disusuli dengan ucapan tetamu kehormat sebelum peringkat akhir musabaqah bermula.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan tausyeh oleh Kumpulan Al-Wildan dan diikuti dengan pengumuman keputusan musabaqah yang disampaikan oleh Pengerusi Jemaah Hakim, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit.


Johan qari dan qariah masing-masing menerima piala pusingan, piala iringan, wang tunai $2,000 dan sijil penyertaan, manakala itu, naib johan menerima piala iringan, wang tunai $1,500 dan sijil penyertaan. Pemenang ketiga qari dan qariah pula membawa pulang piala iringan, wang tunai $1,000 dan sijil penyertaan.
Sementara itu, peserta lain menerima hadiah sagu hati berupa piala iringan, wang tunai $500 dan sijil penyertaan.
MTQBK yang dikelolakan KKBS telah mula dilaksanakan sejak tahun 1980-an dan berjaya melahirkan ramai qari dan qariah belia yang berkaliber dan seterusnya mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
Di samping itu, ia juga berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di negara ini untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu atau taranum.
Selain menyediakan wadah bagi melahirkan qari dan qariah belia yang berpotensi tinggi sebagai pelapis qari dan qariah negara, ia juga dapat mempertingkatkan mutu pembacaan Al-Quran dalam kalangan belia di samping memupuk dan menyemai rasa persahabatan dalam kalangan peserta belia melalui program keagamaan.
Pertandingan berkenaan juga sebagai persediaan pemilihan wakil negara ke Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara anjuran KKBS.