Lahirkan graduan berinovatif

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Seramai 724 orang pelajar baharu Politeknik Brunei bagi sesi akademik 2018/2019 pagi tadi telah dialu-alukan pada hari terakhir Minggu Orientasi Pengambilan ke-8 institusi tersebut yang diadakan di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.

Pengarah Politeknik Brunei, Denis Ho Mun Tai semasa menyampaikan ucapan bagi minggu orientasi berkenaan menekankan bahawa Politeknik Brunei akan terus berusaha untuk menghasilkan tenaga pekerja bagi menampung keperluan pekerja mahir di negara ini bertepatan dengan visi Politeknik Brunei bagi menjadi sebuah politeknik terkenal yang mengeluarkan graduan-graduan yang berinovatif dan ‘marketable’.

“Saya berharap semua pelajar baharu telah menggunakan kesempatan minggu orientasi ini untuk mendekati dan menghayati sistem pembelajaran dan pengajaran serta sistem pentadbiran dan pengurusan yang sedia ada di Politeknik Brunei.”

Beliau juga berharap semua pelajar baharu akan menyedari bahawa ia adalah peluang istimewa untuk terus belajar dan membangunkan diri agar menjadi sumber tenaga manusia yang berguna dan penting demi pembangunan negara.

Tambahnya, pelajar baharu diseru agar sentiasa mengambil perhatian nilai-nilai Politeknik Brunei dari perspektif pelajar-pelajar iaitu integriti, kepimpinan, penghormatan, inovasi, kerjasama dan kecemerlangan.

Denis Ho Mun Tai ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam.
Para pelajar baharu semasa melafazkan ikrar pada hari terakhir Minggu Orientasi Pengambilan ke-8, kelmarin.

Denis Ho Mun Tai menyeru lagi kepada semua pelajar baharu agar dapat mematuhi keperluan kehadiran di sepanjang pengajian di Politeknik Brunei kerana kehadiran yang kurang daripada 85 peratus akan mengakibatkan seseorang pelajar gagal sesuatu module pada akhir semester atau menjejaskan peluang pelajar berkenaan untuk memperoleh sijil diploma pada akhir pengajian.

“Harapan kami adalah supaya setiap pelajar dapat mengambil sifat positif dan serius untuk sentiasa berusaha mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pembelajaran masing-masing di Politeknik Brunei.”

Pada masa yang sama, tambah beliau, pelajar-pelajar adalah disarankan agar mengekalkan keseimbangan di antara aktiviti-aktiviti kokurikulum dengan keperluan pengajian akademik di sepanjang kursus mereka.

Minggu orientasi ini telah bermula pada 2 Julai yang lalu diikuti dengan Majlis Keagamaan Orientasi yang telah berlangsung pada 3 Julai.

Sesi tersebut diisikan dengan program-program yang dapat membantu para pelajar untuk mengenali Politeknik Brunei dengan lebih dekat dan memberikan gambaran kehidupan sebagai pelajar Politeknik, di samping diisi dengan aktiviti-aktiviti yang diharap akan dapat membantu pelajar-pelajar menjalani pengajian dan kehidupan yang produktif.

Sepanjang minggu orientasi ini, pelajar telah diberi taklimat mengenai pendaftaran dan peperiksaan, program pengayaan, perkhidmatan pelajar dan etika, perkhidmatan kewangan dan perkara-perkara akademik serta mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti kepimpinan dan kerja berpasukan.

Minggu Orientasi ini bertujuan untuk mengenalkan pelajar kepada pegawai-pegawai utama di bawah struktur organisasi Politeknik Brunei dan sekolah-sekolah di bawahnya serta program-program kursus yang ditawarkan dan seterusnya mengenalkan kepada pelajar sistem pengajian ‘Blended Teaching and Learning’ yang diguna pakai di institusi ini.

Sejumlah 21 program ditawarkan oleh Politeknik Brunei. Daripada jumlah tersebut, Politeknik Brunei menawarkan Program Level 5 Diploma, sebanding dengan kelulusan Diploma Kebangsaan Tertinggi (HND), yang ditawarkan di bawah empat sekolah iaitu Sekolah Perdagangan (School of Business), Sekolah ICT (School of information and Communication Technology), Sekolah Sains dan Kejuruteraan (School of Science and Engineering) dan Sekolah Sains Kesihatan (School of Health Sciences).