Lakar buku rekod terbuka kebangsaan baharu

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Perenang Brunei Darussalam, Ashley Chai dan Emma Yusuf melakar nama mereka ke dalam buku rekod selepas mereka berjaya mencipta rekod terbuka kebangsaan pada Kejohanan Renang Sprints Brunei ke-7 di Kolam Renang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas baru-baru ini.

Ashley, yang mewakili Kelab Renang Peak Performance, mencatat masa 1:10.51 saat untuk mencipta rekod terbuka kebangsaan baharu dalam acara Kuak Kupu-kupu 100 meter. Perenang yang berusia 19 tahun itu telah mengalahkan rekod Maria Koh 12 tahun lalu dengan catatan masa 1:12.01 saat semasa Sukan Malaysia (SUKMA) di Terengganu pada 2008.

Manakala Emma, ​​yang mewakili Kelab Renang Hammerhead, memecahkan rekod terbuka kebangsaan 30 tahun lalu dalam acara Kuak Dada 100 meter dengan cacatan masa 1:19.74 saat. Catatan masa terbaik daripada rekod sebelum ini dengan catatan masa 1:20.17 saat yang dipegang oleh Hajah Nuralia binti Haji Rahim di Bangkok pada tahun 1990.

Kelab Renang Peak Performance berjaya meng-ungguli pingat dengan 41 emas, 21 perak dan 19 gangsa diikuti oleh Kelab Renang Hammerhead berada di tempat kedua dengan meraih 31 emas, 30 perak dan 22 gangsa.

Sementara itu, Kelab Renang Jerudong pula berada di tempat ketiga dengan lima emas, tiga perak dan tujuh gangsa.

Sebanyak 13 buah pasukan termasuk tiga buah pasukan luar negara dari Filipina dan Malaysia turut serta dalam kejohanan selama dua hari tersebut.

Antara pasukan yang turut serta ialah Kelab Renang Dolphin, Kelab Blue Shark, Kelab Kolam Speed Brunei, Persatuan Akuatik Labuan, Kelab Rekreasi Petroleum Miri, Kelab Renang Slrt, Sekolah LifeSkillSwim, Kolam Renang Kbpiranha dan Kelab Renang P.S.I.

Kejohanan itu juga adalah bagi kelayakan ke Sukan Kumpulan Umur Asia Tenggara ke-44 (SEA AG) di Malaysia pada bulan Jun dan Sukan Sekolah ASEAN ke-12 di Filipina pada bulan November.

Emma bergambar bersama pingat yang dimenanginya di Kejohanan Renang Sprints Brunei ke-7.
Ashley mencipta rekod terbuka kebangsaan baharu dalam acara Kuak Kupu-kupu 100 meter.