Lakar memori indah peragakan pakaian tradisi Puak Tutong

Oleh Nurdiyanah R.

Adat dan budaya merupakan simbolik yang penting khususnya bagi sesebuah puak dan masyarakat. Sebagaimana yang kita ketahui, setiap masyarakat mempunyai adat dan budaya mereka yang tersendiri.

Begitu juga dengan Puak Tutong yang juga banyak adat dan telah diamalkan sejak zaman nenek moyang lagi namun sehingga ke hari ini, ia semakin pupus dan tidak dipraktikkan lagi. Hanya adat berbasuh kaki yang masih dipraktikkan sehingga kini dalam kalangan etnik ini ketika berlangsungnya majlis perkahwinan.

Seiring berlalunya waktu, salah satu adat yang kini sukar disaksikan lagi bahkan boleh dikatakan sudah tidak dipraktikkan ialah ketika menghadiri majlis perkahwinan masyarakat Tutong, di mana pengantin lelaki biasanya akan diarak menggunakan ‘bangkar’ iaitu sejenis alat berbentuk kapal yang seakan-akan terapung dan direka khas di atas kayu buluh.

Selepas itu, bila sahaja menghampiri rumah pengantin perempuan, pengantin lelaki akan menaiki ‘usungan’ yang diangkat oleh beberapa orang kaum lelaki yang berbadan tegap atau sasa.

Inilah salah satu adat yang sudah tidak diamalkan dalam lingkungan Puak Tutong pada era sekarang. Antara alasannya disebabkan peralihan zaman yang serba moden dan kemudahan jalan raya untuk memudahkan kita sampai menuju ke destinasi dengan lebih cepat.

Dayang Siti Nur Nabilah Hidayatullah Asimah Faris memperagakan pakaian tradisi Puak Tutong ketika melangsungkan majlis berbedak perkahwinannya.

Memori terindah bersulam budaya tradisi

Dalam menadah kesyukuran menjelangnya detik Tahun Baharu 2022, adalah menjadi kenangan manis buat Dayang Siti Nur Nabilah Hidayatullah Asimah Faris binti Idris yang berasal dari Kampung Tanjong Maya, Tutong ketika melangsungkan majlis berbedak sesi perkahwinannya memperagakan pakaian tradisi Puak Tutong yang pastinya sudah jarang dilihat dan digunakan pada zaman sekarang.

Dengan menggunakan ‘Gegatar’ di kepala serta ‘Sesandang’ di kedua-dua belah bahu beliau menjadikan satu tarikan unik bagi para pengunjung yang hadir pada majlis berkenaan apatah lagi majlis turut menyediakan secara langsungnya di laman Youtube sehingga berkesempatan ditonton oleh jemputan khas dari YouTuber Indonesia, Wulan’s Life.

“Untuk menjadi kenangan terindah tahun 2021 saya menggunakan pakaian Puak Tutong pada majlis berbedak ini kerana mahu adat resam dan budaya Puak Tutong ini dipertahankan. Ia sesuatu yang sungguh istimewa lebih-lebih lagi, saya terdiri daripada salah seorang belia daripada kalangan Puak Tutong mahu mempertahankannya.

“Kalau bukan generasi belia siapa lagi yang akan dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan budaya Puak Tutong,” ujarnya dengan penuh senyuman manis.

Ingin membuka minda bersama

Dayang Siti Nur Nabilah berkongsi lagi, walaupun agak unik dan berlainan daripada pakaian Puak Brunei yang sering digunakan, namun beliau rasa berbangga kerana dapat menggunakan semasa detik sejarah dalam hidupnya.

“Saya bangga kerana keunikan inilah yang membuatkan para jemputan yang hadir rasa terpegun, terutama sekali jemputan saya dari Indonesia. Dengan cara ini saya dapat membuka mata dan memperkenalkan kepada orang luar mengenai budaya atau pakaian Puak Tutong kepada mereka.”

“Pastinya, adalah menjadi tanggungjawab golongan belia khususnya yang berasal dari daerah ini untuk memartabatkan pakaian perkahwinan tradisi Puak Tutong ini.

“Begitu sayang jika kita membiarkannya pupus begitu sahaja kerana pakaian ini memang cantik dan mempunyai sedikit berlainan,” tambahnya lagi.

Di akhir kata-katanya, insan berjiwa keindahan seni ini turut berkongsi bahawa beliau mula mengetahui pakaian Puak Tutong ini semasa mengikuti Hari Kebangsaan tahun 2021 lalu dan pada masa itu mereka berkesempatan memperagakan pakaian Puak Tutong mewakili dari Daerah Tutong.

“Selepas itu, saya membuat photoshoot dengan mengenakan pakaian Puak Tutong. Dari situlah saya memiliki impian tulus untuk menggunakan pakaian budaya nenek moyang kita ini semasa berlangsungnya majlis berbedak saya dan pastinya sebagai kenangan pada penghujung tahun 2021 lalu,” jelasnya lagi.

Ketulusan jiwa belia Tutong demi budaya

Semasa berlangsungnya majlis, salah seorang jemputanyang hadir, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan yang juga pemangku ketua Kampung Sengkarai Tutong dan pengerusi Kumpulan IMPAK Penggerak Belia, Pusat Belia Tutong turut mengungkapkan kegembiraan dan terharu kerana ada juga wakil belia berasal dari Daerah Tutong yang mahu memperagakan pakaian Puak Tutong yang sekali mewarnai majlis berkenaan.

Tambahnya, ini kerana setelah beliau mencari para belia menggunakan pakaian Puak Tutong semasa Hari Kebangsaan tahun 2021 lalu, beliau tidak menyangka mereka menggunakan untuk acara perkahwinan.

“Pada tahun 2021 ini sahaja, sudah tiga orang belia menggunakan pakaian Puak Tutong pada acara perkahwinan mereka walaupun ia satu angka yang kecil, namun beliau berasa bangga dan berjaya menarik para belia untuk menggunakan pakaian Puak Tutong ini.”

“Dari lubuk hati yang terdalam, saya rasa bersyukur dan berharap agar para belia Puak Tutong dapat sama-sama memartabatkan kembali pakaian Puak Tutong ini supaya ia dapat digunakan berterusan pada masa akan datang,” ucapnya tulus semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis.