Lakon semula babak semasa Peperangan Demi Generasi Muda

SEGAMAT – Walaupun mempunyai latar belakang dan umur yang berbeza, namun bagi tiga rakan yang mempunyai minat mendalam perkara yang sama, iaitu ‘sejarah peperangan di Malaysia’, menjadikan mereka rapat.

Malah apa yang menjadikannya lebih menarik, mereka juga mengumpulkan gambar, video dan juga ‘tanda kenangan’ atau barang-barang dari zaman dahulu dan ada kalanya atas permintaan, mereka akan melakonkan semula momen sejarah, demi kepentingan pendidikan dan juga rujukan generasi masa hadapan.

Bagi Rizal Mohd Misrom, kecintaannya terhadap sejarah bermula sejak beliau di Tingkatan 2.

“Semasa saya kecil, saya suka menonton drama bersiri ‘Combat’ yang dilakonkan Vic Morro di televisyen. Apabila ayah saya menghadiahkan senapang mainan, saya selalu bermain dan melakonkan semula aksi peperangan dengan menjadikan susunan bantal sebagai kubu,” katanya sambil tersenyum ketika ditemui media, baru-baru ini.

Rizal berkata, seorang rakannya pernah memberitahu mengenai terdapatnya rangka sebuah kapal terbang Jepun yang ditembak jatuh semasa Perang Dunia Kedua, di ladang kelapa sawit di Batu 25 Kulai, berhampiran dengan tempat tinggalnya ketika itu.

(Dari kiri) Rizal Mohd Misrom, Mohd Shafie Abdul Latiff dan Aisyamuddin Abdul Latip. – Bernama
Melakonkan semula babak pertempuran Buloh Kasap yang terjadi ketika Perang Dunia Ke-2. – Bernama
Mohd Shafie Abdul Latiff dan Aisyamuddin Abdul Latip mengenakan pakaian tentera Jepun. – Bernama
Sebilangan koleksi peribadi peninggalan sejarah dari Perang Dunia Kedua. – Bernama
Bekas Jambatan Putus Buloh Kasap yang menjadi bukti pertempuran Buloh Kasap yang terjadi ketika Perang Dunia Kedua. – Bernama

“Jadi, saya telah ke tempat itu dan mula mengumpulkan barang-barang berkaitan kapal terbang itu untuk disimpan. Ia merupakan koleksi sejarah perang saya yang pertama dan saya terus mengumpulkan apa sahaja yang berkaitan dengan masa lampau, sehingga sekarang,” kata lelaki berusia 47 tahun sambil mengenakan uniform tentera Australia lama yang beliau miliki.

Bapa kepada empat orang anak itu sehingga kini telah mengumpulkan lebih 100 barangan termasuk uniform tentera, sarung topi keledar, bahagian bayonet asal, sebahagian manual kapal terbang Jepun, topeng muka gas British yang digunakan sewaktu perang Dunia Kedua dan banyak lagi.

Bagi Mohd Shafie Abdul Latiff pula, minatnya terhadap sejarah bermula sejak dulu lagi, namun hanya dapat dilakukan secara serius sejak tahun lepas, selepas bersara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ketika mengingat kembali, lelaki berusia 43 tahun berasal dari Buloh Kasap di sini berkata, dalam peperiksaan biasanya hanya mata pelajaran Sejarah sahaja yang beliau akan dapat markah penuh dan tidak pada mata pelajaran lain.

“Apabila berkhidmat dalam TUDM, ia menguatkan lagi minat saya dalam sejarah ketenteraan. Bayonet yang ditemui bapa saya Abdul Latiff Ali, selepas pertempuran Buloh Kasap, telah diberikan kepada saya dan ia kini merupakan salah satu pemilikan paling berharga saya,” katanya yang turut memiliki uniform tentera Jepun yang dibuat semula.

Aisyamuddin Abdul Latip, yang paling muda dalam kalangan tiga rakan baik itu berkata, beliau berharap lebih ramai generasi muda untuk mengikut jejak langkahnya, mencintai sejarah negara dan apa yang sebenarnya telah berlaku.

“Rizal mengajar saya banyak perkara mengenai sejarah, sejak saya kenali beliau pada usia 20 tahun,” kata lelaki berusia 25 tahun yang juga menjadi juru pandu media, menunjukkan pelbagai tempat bersejarah di Segamat.

Aisyamuddin yang mengenakan uniform tentera Jepun ketika bertemu media, juga mengambil masa untuk melakonkan semua beberapa babak bersama Rizal, berlatarbelakangkan pertempuran Buloh Kasap yang terjadi ketika Perang Dunia Kedua. Ketiga-tiga mereka merupakan ahli kumpulan melakonkan semula ‘We are Reenactors (WAR) Malaysia Recruiting Center’, di mana Facebook mereka sehingga kini telah mendaftarkan lebih 600 ahli.

Kesemua mereka mempunyai harapan yang sama, iaitu mendapat peluang untuk melakonkan semula momen bersejarah seperti peperangan, untuk kepentingan generasi masa hadapan.

“Melakonkan semula peperangan bukanlah sesuatu yang baharu di tempat lain, malah mereka lakukannya untuk menarik orang datang atau sebagai tarikan pelancong, supaya mereka faham akan sejarah kawasan tersebut.

“Kita juga mempunyai banyak tempat sejarah menarik yang boleh dibuat lakonan semula, atau menghidupkan semula momen bersejarah, supaya generasi akan datang tahu mengenainya,” kata Rizal yang pernah terkenal selepas melakonkan semula babak untuk History Channel pada tahun 2013.

Bagi Mohd Syafie, lakonan semula di Malaysia pada kebiasaannya dianjurkan ketika Perbarisan Merdeka dan acara penting.

Bagaimanapun beliau mendakwa beberapa elemen digunakan dalam ‘persembahan’ seperti pakaian yang dipakai pelakon itu, tidak berapa tepat.

“Lakon semula bukan untuk menghidupkan semula peperangan, tetapi ia untuk pendidikan. Sebagai contoh, untuk mengetahui jenis uniform yang digunakan oleh unit-unit berbeza dan juga senjata yang digunakan.

“Ia bukan sahaja untuk generasi muda, tetapi untuk semua. Kadang kala, mereka tidak tahu uniform tersebut. Sebab itulah selalunya akan terdapat kekeliruan. Bila mereka lihat uniform, mereka terus kaitkannya dengan komunis.

“Ada masanya ia boleh dipolitikkan, di mana ia sebenarnya bukanlah uniform komunis. Sebab itulah lakonan semula dengan uniform dan peralatan yang betul boleh mengajar orang ramai,” katanya. – Bernama