Laksana langkah keselamatan baru atasi Omicron

PARIS, 27 DIS – Presiden Perancis, Emmanuel Macron (gambar) dijangka mengumumkan langkah baharu COVID-19 hari ini ketika negara itu bersiap sedia untuk lonjakan kes baharu berikutan varian Omicron yang menular dengan pantas.

Pegawai telah memberikan amaran bahawa hospital sekali lagi berisiko dibebani selepas rekod 100,000 kes dilaporkan pada Sabtu lalu, jumlah harian tertinggi di Perancis sejak pandemik itu bermula hampir dua tahun lalu.

Pakar kesihatan telah menganggarkan jumlah kes dalam sehari akan meningkat pada pertengahan Januari, walaupun jutaan penduduk telah menerima suntikan penggalak dalam beberapa minggu ini.

Sekitar 3,300 orang sekarang ini berada dalam rawatan rapi, sekali lagi melebihi ambang krisis 3,000 yang diramalkan oleh pihak berkuasa untuk mengendalikan kes terburuk itu.

Macron akan mengadakan mesyuarat krisis pada 4 petang waktu tempatan menerusi sidang video dari tempat percutian Mediterraneannya di Bregancon dengan anggota utama kabinetnya dan wakil badan kesihatan awam Perancis.

Satu langkah yang masih di bawah pertimbangan ialah sekatan pas kesihatan COVID-19 negara, yang mana diperlukan untuk memasuki restoran, panggung wayang dan tempat-tempat awal, hanya kepada orang yang telah menerima vaksinasi lengkap, dan ia tidak lagi kepada orang yang mendapat keputusan negatif baru-baru ini.

Pas dan ujian keputusan negatif juga mungkin diperlukan untuk bar atau kafe tanpa tempat duduk, dan mungkin untuk kelab malam jika mereka dibenarkan dibuka semula pada Januari selepas penutupan selama empat minggu yang diarahkan pada 6 Disember.

Beberapa orang doktor juga mencadangkan perintah berkurung untuk Malam Tahun Baharu, manakala sekumpulan pekerja kesihatan mahu menangguhkan pelajar ke sekolah selepas cuti, telah ditetapkan pada 3 Januari. – AFP