Laksana Pembaikan Perkhidmatan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-11, Kementerian Kesihatan melaksanakan projek-projek pengubahsuaian dan pembaikan di semua hospital dan pusat kesihatan di seluruh negara.

Di samping itu, Kementerian Kesihatan juga memberi perhatian dan meneroka penggunaan teknologi dalam pemberian perkhidmatan kesihatan serta memperkukuhkan sistem maklumat kesihatan, termasuk perkembangan sistem Bru-HIMS yang sedia ada.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah), mengongsikan beberapa inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kementeriannya semasa mempengerusikan Sesi Muzakarah Kementerian Kesihatan bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Tutorial Room 1 & 2, Pusat Perempuan dan Kanak-kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini.

Semasa sesi muzakarah berkenaan, Yang Berhormat Dato turut menerangkan mengenai hala tuju kementeriannya dalam mengukuhkan sistem dan perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam masa lima tahun akan datang dengan pelancaran Pelan Strategik 2019-2023.

Menurut beliau, ia memberi fokus pada penyediaan perkhidmatan yang lebih berkualiti, efektif, efisien, responsif, saksama dan mudah diperolehi selaras dengan konsep liputan penja-gaan kesihatan menyeluruh (Universal Health Coverage).

Yang Berhormat Menteri Kesihatan membawa ahli-ahli MMN meninjau beberapa perkhidmatan dan kemudahan baharu yang diubah suai di Hospital RIPAS sebelum sesi muzaharah, semalam.
Antara peralatan Stress Test Treadmil yang terdapat di Unit Jantung.

Penyediaan pelan strategik Kementerian Kesihatan berkenaan, tambah beliau, juga sebagai tanda dukungan pihak kementerian kepada pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035 khususnya dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk negara ini.

“Pelan strategik yang membawa tema ‘Pelaburan Untuk Masa Hadapan (Investing For Our Future)’ dari segi pelaburan sektor kesihatan ianya bukan sahaja menumpukan kepada aspek kewangan malahan juga keperluan sumber tenaga manusia, bekalan perubatan, teknologi dan infrastruktur.

“Tumpuan sewajarnya bukan sahaja kepada meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang komprehensif dan berkualiti tinggi tetapi juga memastikan perkhidmatan yang efisien dari segi kos dan juga value for money,” ujar beliau.

Yang Berhormat Dato turut menekankan kebertanggungjawaban semua pihak adalah kunci utama kepada memastikan kedayatahanan sistem dan perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini.

Oleh yang demikian, katanya, pelaburan terbaik dalam jangka panjang ialah untuk mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan meliputi sektor awam dan juga swasta, membentuk kerjasama padu dengan penglibatan semua lapisan masyarakat di samping untuk sentiasa meletakkan agenda kesihatan sebagai landasan kepada pembangunan berdaya tahan dan menggerakkan bagi pelaksanaan kesihatan dalam semua dasar melalui pendekatan whole of nation.

Selepas ucapan Yang Berhormat Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku wakil ahli-ahli MMN juga menyampaikan ucapan balas.

Pada sesi berkenaan, taklimat mengenai perkembangan dan usaha-usaha terkini bagi Perkhidmatan Hospital, Perkhidmatan Kesihatan Asasi dan Kesihatan Awam, termasuk Promosi Kesihatan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan telah disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Haji Othman.

Permuzakarahan diikuti dengan sesi dialog antara ahli-ahli MMN dan pihak Kementerian Kesihatan.

Dialog yang diadakan dalam suasana silaturahim, muhibah dan secara terbuka itu adalah bagi berkongsi idea, maklumat, isu, pandangan dan cadangan yang sudah setentunya akan memberi manfaat kepada Kementerian Kesihatan dalam usahanya meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan demi kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

Terdahulu sebelum sesi muzakarah berkenaan, rombongan seramai 16 orang ahli MMN telah dibawa melawat ke beberapa perkhidmatan dan kemudahan baharu yang diubah suai di Hospital RIPAS bagi meninjau secara dekat perkembangan terkini daripada perkhidmatan-perkhidmatan tersebut iaitu Pusat Jantung; Wad 4 – Unit Perubatan Akut; Jabatan Kecemasan; Pusat Endokrin; dan Farmasi Pesakit Luar.