Laksana tanggungjawab, imbas kod QR

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Orang ramai sekali lagi diingatkan untuk sentiasa mengimbas kod QR melalui aplikasi BruHealth apabila memasuki mana-mana bangunan, kerana ia akan memudahkan pihak Kementerian Kesihatan membuat pengesanan kontak jika terjadi perkara-perkara yang tidak diingini.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berkata, memastikan orang ramai sentiasa mematuhi peraturan pengimbasan kod apabila memasuki mana-mana bangunan, bukan sahaja tanggungjawab pihak kementerian bahkan ia merupakan tanggungjawab semua pihak.

“Kerana ia juga memainkan peranan yang sangat penting pada masa ini,” tambah beliau semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau seterusnya menegaskan, jika seseorang itu tidak mengimbas kod QR atau pihak bangunan tidak memeriksa kemasukan orang ramai untuk mengimbas QR, mereka bukan sahaja membahayakan diri sendiri akan tetapi membahayakan seluruh rakyat di negara
ini.

“Dengan itu, bersikap jujur dan bertanggungjawablah kita semua agar kita dapat melindungi semua orang dan dapat meratakan atau membendung penularan wabak ini daripada meningkat ke tahap yang lebih membimbangkan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato menasihatkan mereka yang memiliki kod QR berwarna merah atau ungu supaya untuk tidak melanggar undang-undang yang telah ditetapkan atau berdepan denda $5,000.