Laksana tanggungjawab, teranah di rumah

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Gelombang kedua penularan COVID-19 di negara ini sudah memasuki minggu keempat di mana pihak kerajaan telah membuat beberapa kawalan yang mana hanya orang berkepentingan saja atau industri tertentu dibenarkan
bekerja.

Oleh itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar terus mengingatkan orang ramai untuk terus sama-sama menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Beliau sekali lagi menegaskan kepada orang ramai untuk kekal teranah di rumah dan tidak berjalan-jalan membuat kunjung-mengunjungi atau berkumpul dan hanya keluar jika perlu saja, kerana ini dapat mengawal penularan wabak berkenaan.

“Tanggungjawab ini bukan saja Kementerian Kesihatan atau pihak kerajaan tapi semua perlu memainkan peranan penting dalam mengawal penularan ini,” tegasnya lagi semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.