Laksanakan tanggungjawab sosial bendung virus

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Berhubung dengan pembelian juadah makanan, minuman dan lain-lain di restoran-restoran, gedung-gedung perniagaan, pasar-pasar dan kedai-kedai runcit, Kementerian Kesihatan sekali lagi telah mengingatkan orang ramai untuk terus melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah-langkah pencegahan ketika membuat pembelian.

Peringatan tersebut telah dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut menggesa orang ramai untuk sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal seperti yang disarankan dan tidak mengunjungi ke satu-satu tempat secara beramai-ramai.

Di samping itu, pemilik-pemilik perniagaan serta restoran juga disyorkan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelak situasi perhimpunan ramai di tempat atau sekitar premis penjualan seperti menyediakan tempat menunggu yang sesuai yang menurut syarat-syarat penjarakan fizikal ataupun membuat kaedah penghantaran ke kereta pelanggan iaitu tanpa memerlukan pelanggan untuk menunggu di sekitar tempat atau premis penjualan, tambahnya.

“Ini adalah di samping kaedah-kaedah lain yang boleh dibuat seperti drive-thru atau home delivery,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.

Salah sebuah kedai yang mengenakan tanda merah di kawasan lantai premis bagi tujuan penjarakan sosial para pelanggannya. – Gambar oleh Muiz Matdani