Laksanakan tugas dengan penuh amanah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Para amil diseru agar sentiasa menanamkan sifat amanah dan bertanggungjawab bagi melaksanakan tugas mengutip zakat serta patuh mengikut peraturan dan arahan-arahan yang telah ditetapkan.

Mereka juga diseru untuk merujuk dan mengulang kaji buku ‘Garis Panduan Tugas dan Tanggungjawab Amil’ yang diterbitkan oleh Jabatan Majlis Ugama Islam (MUIB), Kementerian Hal Ehwal Ugama demi melancarkan tugasan yang diberikan.

Perkara tersebut ditekankan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku naib yang di-pertua MUIB semasa berucap selaku tetamu kehormat pada Majlis Penyampaian Tauliah Amil Zakat Fitrah dan Harta kepada Amil-amil yang Dilantik Seluruh Negara bagi tahun 1442H-1443H bersamaan 2021M-2022M yang berlangsung di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas, hari ini.

Tambahnya, bagi mempelbagaikan kaedah atau cara pengutipan zakat yang bukan saja terhad kepada cara tradisional yang sudah berjalan sekian lama, MUIB baru-baru ini telah memperkenalkan satu kaedah atau cara alternatif bagi pembayaran zakat fitrah iaitu perkhidmatan pembayaran zakat fitrah secara dalam talian yang telah dilancarkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku yang di-pertua MUIB.

“Kita sedia maklum bahawa cara pembayaran zakat secara dalam talian ini bukanlah satu yang baharu dan sudah pun diguna pakai di banyak negara jiran kitani dan ia adalah satu cara atau kaedah yang bersistematik bagi MUIB dalam era pendigitalan ini yang bertujuan untuk memudahcara urusan dan menjimatkan masa bagi orang ramal membuat pembayaran zakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, kaedah tradisional iaitu pembayaran zakat fitrah melalui amil-amil di masjid-masjid, surau dan balai ibadat atau di rumah-rumah amil masih tetap relevan dan akan masih tetap berjalan seperti sebelumnya.

Pada majlis tersebut, seramai 349 orang amil telah dilantik bagi 140 kawasan tempat mengutip zakat di seluruh negara iaitu 203 orang bagi 79 kawasan di Daerah Brunei dan Muara, 24 amil bagi 15 kawasan di Daerah Belait, 51 amil bagi 29 kawasan di Daerah Tutong dan 26 amil bagi 13 kawasan di Daerah Temburong. Manakala itu, seramai 45 orang amil telah dilantik di Jabatan Majlis Ugama Islam bagi keempat-empat daerah mengutip zakat yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan jabatan tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah Penolong Setiausaha MUIB, Haji Hamzah bin Haji Sabtu, para pengarah dan penolong pengarah serta pegawai-pegawai kanan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), pegawai-pegawai daripada Jabatan Majlis Ugama Islam, pegawai-pegawai daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pasukan Polis Diraja Brunei dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP).

Menurut kenyataan yang diberikan, bagi tahun 2019, zakat fitrah yang diterima berjumlah $980,254.22 daripada 347,208 orang, manakala pada 2020, jumlah zakat fitrah yang diterima adalah sebanyak $977,815.59 daripada 346,103 orang.

Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom ketika menyampaikan pentauliahan amil zakat fitrah kepada salah seorang amil yang dilantik.