Sunday, December 15, 2024
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lakukan kekerasan, lelaki dihadapkan ke mahkamah

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Feb – Seorang lelaki yang didakwa melakukan jenayah kekerasan telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini.

    Durahim bin Haji Mohid, 54, didakwa melakukan kesalahan itu dengan mengacukan sebilah pisau dan mengejar seorang lelaki berusia 16 tahun di kawasan rumah di Kampung Perpindahan Lambak Kanan kira-kira jam 2 petang, pada 14 Februari 2018.

    Dia turut berdepan tuduhan melakukan kesalahan itu terhadap seorang kakitangan awam dengan mengacukan dan mengayunkan lembing ke arahnya, dengan tujuan untuk menghalangnya daripada menjalankan tugas.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu, juga pada 14 Februari di kampung perpindahan yang sama sekitar jam 3:30 petang.

    Tidak ada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, yang mana Majistret Kanan Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar memerintahkan tertuduh untuk menjalani pemeriksaan kesihatan mental sebaik dimaklumkan pihak pendakwaan yang tertuduh sebelum ini merupakan pesakit mental.

    Kes didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamilah binti Awang Mohamad mengikut Seksyen 352 dan 353 Kanun Keseksaan, masing-masing memperuntukkan hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga setahun dan juga denda serta hukuman penjara yang boleh dilanjutkan sehingga lima tahun dan juga denda.

    Kes akan disebut semula dalam tempoh dua minggu.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda