Lakukan pemeriksaan awal kanser

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 30 Julai – Pegawai Perubatan dari Pusat Perubatan Jerudong Park ( JPMC), Dr Shamir Chandran menyarankan orang ramai supaya melakukan pemeriksaan awal mengenai penyakit kanser serta mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk melakukan aktiviti dengan cara hidup yang sihat supaya terhindar daripada penyakit berbahaya itu.

Beliau juga menasihatkan supaya memperbanyakkan pengambilan makanan sihat seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan banyakkan meminum air kosong, dan mengurangkan atau menjauhkan daripada banyak makan daging dan makanan berlemak lainnya.

“Adalah penting setiap individu melakukan senaman setiap hari walaupun senaman ringan seperti berjalan kaki dan juga di tempat kerja bagi mengelakkan daripada risiko menghidap penyakit,” katanya semasa menyampaikan taklimat mengenai penyakit kanser anjuran Persatuan Malayali (MA) yang berlangsung di Dewan Bangunan Persatuan India Belait (IAB) di sini hari ini.

Antara yang menghadiri taklimat anjuran Persatuan Malayali di Seria.
Antara yang menghadiri taklimat anjuran Persatuan Malayali di Seria.

Lebih seratus orang telah menghadiri majlis tersebut yang antara lain bertujuan memberikan kesedaran kepada kalangan ahli persatuan tentang pentingnya melakukan cara hidup yang sihat dan pengambilan makanan yang sihat dan sebagainya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Presiden MA, Jose Kuncheria dan juga Setiausaha MA, Sunilkumar serta ahli-ahli tertinggi persatuan itu.