Lakukan pemeriksaan lebih kerap

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa penghubung utama antara rumah di Kampong Ayer adalah jambatan sama ada ia jambatan kayu atau batu namun majoriti jambatan di Kampong Ayer adalah kayu.

Ia menjadi penghubung bagi penduduk Kampong Ayer untuk pergi dari satu kampung ke kampung yang lain malah ia turut digunakan oleh pelajar sekolah yang berjalan kaki menuju ke sekolah.

Apa yang ingin saya bangkitkan dalam surat kiriman pembaca kali ini ialah ada sesetengah jambatan kayu di kawasan Kampong Ayer mengalami kerosakan malah ia akan bergoyang apabila pejalan kaki melaluinya. Setentunya ia boleh mendatangkan bahaya jika terus dibiarkan begitu sahaja walaupun ada sesetengah penduduk mengambil inisiatif dengan memperbaikinya sendiri tanpa menunggu pihak tertentu.

Namun bagaimana jika jambatan itu berdekatan dengan rumah yang tidak berpenghuni dan masih menjadi laluan utama bagi sesetengah penduduk, jambatan kayu juga seakan-akan semakin rosak dan nampak bahaya.

Oleh itu, disarankan kepada pihak-pihak yang tertentu untuk mengadakan lawatan dan pemeriksaan yang kerap terhadap jambatan-jambatan di kawasan Kampong Ayer kerana ia menjadi medium utama bagi penduduk selain perahu tambang. Pemeriksaan perlulah terhadap beberapa aspek seperti tiang dan kayu jambatan kerana tiang kayu jambatan boleh sahaja ‘mumut’ menurut masyarakat Brunei.

Selain itu juga, lampu di jambatan Kampong Ayer ada juga yang tidak berfungsi dan penduduk kampung terpaksa meredah kepekatan malam tanpa ada cahaya jambatan malah dikhuatiri juga ada penduduk kampung yang terjatuh ke dalam sungai jika lampu-lampu jambatan tidak berfungsi.

Walaupun saya difahamkan ada sesetengah penduduk kampung sudah menghadapkan masalah tersebut kepada pihak tertentu namun belum ada sebarang tindakan yang dilakukan.

Oleh yang demikian, lakukanlah pemeriksaan yang kerap ke kawasan Kampong Ayer khususnya terhadap jambatan dan lampu-lampu jambatan sebelum perkara yang tidak diingini berlaku kerana situasi jambatan yang tidak kukuh boleh membahayakan nyawa penduduk kampung. – Pemuda Kampong Ayer Sejati

Lakukanlah pemeriksaan yang kerap ke kawasan Kampong Ayer khususnya terhadap jambatan kayu dan lampu jambatan.