Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Lalat askar hitam urus sisa sampah secara lestari

    TANAH MERAH – Projek Pengurusan Sisa Lestari menggunakan lalat askar hitam atau Black Soldier Fly (BSF) mampu memantapkan pengurusan sisa buangan organik harian termasuk di tempat pelupusan sampah secara lestari.

    Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata projek itu dibiayai Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) di bawah kementeriannya melalui Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC).

    “BSF atau nama saintifiknya Hermetia Illucens adalah spesies lalat yang terdapat di negara beriklim tropika yang digunakan bagi memproses pelbagai jenis bahan buangan organik harian, selain memelihara sumber alam semula jadi dan mengurangkan pencemaran alam.

    “Larva-larva lalat spesies ini adalah model terbaik digunakan untuk kaedah melupuskan sisa-sisa makanan secara lestari, selain BSF membantu mengurangkan pembuangan sampah makanan ke tapak pelupusan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Projek Pengurusan Sisa Lestari BSF di Tapak Pasar Borong Tanah Merah di sini hari ini.

    Tuan Ibrahim berkata fungsi fasiliti BSF adalah untuk memproses hasil pungutan sisa daripada Pasar Borong Manal dan Pasar Besar Bandar Tanah Merah.

    “Fungsi BSF yang menggunakan 60 peratus larva lalat jantan dan 40 peratus larva lalat betina ini bagi memproses hasil pungutan sisa ditempatkan rumah khas terletak di belakang Pasar Borong Manal dan Pasar Besar Bandar Tanah Merah mengambil masa 14 hingga 21 hari.

    “Proses ini juga dijangka dapat mengurangkan penjanaan sebanyak lima tan sehari sampah yang dibuang ke tapak pelupusan sisa dengan potensi pengurangan pembebasan sebanyak tiga tan karbon dioksida setara dalam sehari,” katanya dengan menambah fasiliti itu juga dapat menghasilkan baja kompos bagi menggantikan baja kimia untuk kegunaan pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Tuan Ibrahim berkata program berkenaan akan diteruskan di seluruh Malaysia bagi merealisasikan sasaran 100 pelaksanaan Rumah Ibadat Hijau di masa hadapan.

    Beliau berkata projek lestari itu melibatkan anjuran bersama agensi seperti Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM), kerajaan negeri melalui Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUMH), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Persatuan Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK).

    “Menerusi GeRAK, sebanyak RM35 juta peruntukan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi diluluskan oleh kerajaan kepada seluruh PBT di negara ini. – Bernama

    Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (tengah) melihat sebahagian lalat Black Soldier Fly dewasa selepas merasmikan Projek Pengurusan Sisa Lestari Black Soldier Fly di bawah Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK). – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...