Laluan hijau Brunei – Singapura bagi perjalanan rasmi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Negara Brunei Darussalam dan Singapura telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah Laluan Hijau Timbal Balik (Reciprocal Green Lane, RGL) bagi memudahkan pergerakan penduduk kedua-dua buah negara bagi perjalanan rasmi dan perniagaan penting pada September 2020.

Menurut kenyataan akhbar bersama Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Republik Singapura, di sini, hari ini, kedua-dua pihak telah bersetuju dengan pengaturan yang membolehkan penyambungan semula dengan selamat pergerakan rentas sempadan bagi jumlah penduduk yang terhad dengan perlindungan yang diperlukan ditempatkan bagi memastikan kebimbangan kesihatan awam kedua-dua belah pihak ditangani.

Kesemua penduduk Negara Brunei Darussalam dan Singapura tanpa mengira kewarganegaraan, yang perlu untuk membuat perjalanan rasmi dan perniagaan penting di antara kedua-dua buah negara berkenaan, boleh memohon untuk membuat perjalanan bermula hari ini, 1 September.

Mereka juga mesti berada di Negara Brunei Darussalam atau Singapura sekurang-kurangnya 14 hari sebelum berlepas. Mereka juga perlu mengambil ujian COVID-19 Polymerase Chain Reaction (PCR), sekurang-kurangnya 72 jam sebelum berlepas dan memperoleh keputusan ujian negatif daripada pihak yang berkenaan di Brunei dan Singapura.

Kegagalan mendapatkan keputusan ujian itu, para pemohon tidak akan dibenarkan memasuki negara yang berkenaan. Para pemohon bertanggungjawab untuk menanggung kos bagi ujian COVID-19 pra-perlepasan masing-masing.

Mereka yang membuat perjalanan dari Brunei ke Singapura, perusahaan atau agensi kerajaan yang menerima di Singapura perlu memohon bagi SafeTravel Pass bagi pihak mereka yang membuat perjalanan untuk memasuki Singapura di mana surat kebenaran akan dikeluarkan apabila permohonan telah diluluskan.

Berikutan dengan itu, perusahaan atau agensi kerajaan yang menerima juga perlu untuk masuk ke dalam portal SafeTravel Pass dalam tempoh 72 jam sebelum perlepasan pemohon berkenaan dijadualkan bagi menghantar keputusan ujian negatif COVID-19 mereka serta jadual perjalanan terkawal di Singapura. Manakala itu bagi penduduk Singapura yang ingin membuat perjalanan ke Brunei, perusahaan atau agensi kerajaan di Brunei perlu membuat permohonan mendapatkan Entry Travel Pass bagi pihak pemohon.

Pihak yang menerima di Brunei juga dikehendaki menghantar jadual perjalanan terkawal di Brunei di mana surat kebenaran akan dikeluarkan apabila permohonan berkenaan diluluskan.

Apabila tiba di Brunei atau Singapura, mereka yang membuat perjalanan akan menjalani ujian COVID-19 PCR kedua di mana mereka akan terus berada dalam pengasingan di tempat penginapan mereka sehingga keputusan ujian diterima.

Jika positif koronavirus, mereka akan menerima rawatan di negara di mana mereka berada dan perlu menanggung kos bagi rawatan itu.

Mereka yang membuat perjalanan juga disarankan mematuhi jadual perjalanan terkawal bagi tempoh atau 14 hari pertama lawatan mereka atau yang mana lebih pendek.

Bagi maklumat terperinci proses permohonan dan keperluan RGL boleh melayari, https://safetravel.ica.gov.sg/brunei/rgl/faq dan http://www.pmo.gov.bn/travelportal/Home.aspx.