Lam lawat masjid disembur air dicampur pewarna biru

HONG KONG, 21 OKT – Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam dan Ketua Polis, Stephen Lo hari ini melawat sebuah masjid yang menjadi sasaran semburan meriam air ketika insiden protes semalam.

Pintu masuk Masjid Kowloon terbabit telah disemburkan dengan pewarna biru hingga mencetuskan kemarahan penduduk Muslim dan kumpulan penunjuk perasaan prodemokrasi.

Difahamkan, polis menggunakan pewarna yang dicampurkan dengan bahan boleh menyebabkan iritasi kononnya untuk mengenal pasti peserta protes, namun tindakan itu sering kali menyebabkan laluan dan bangunan dicemari warna biru.

Rakaman video semalam menunjukkan sebuah trak yang digunakan ketika konfrontasi dengan kumpulan protes bertindak menyembur para wartawan dan pejalan kaki yang berada di tepi jalan. – AFP

Gambar fail pada Ahad menunjukkan reaksi orang ramai selepas disembur dengan air diletak pewarna biru oleh kenderaan kawalan rusuhan polis semasa satu protes di luar Masjid Kowloon di Hong Kong.