Laman sesawang brunei.events berwajah baharu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Dalam usaha untuk mempelbagaikan lagi pengisian ciri-ciri baharu sekali gus memberikan kemudahan kepada orang ramai, brunei.events secara rasminya hari ini telah melancarkan laman sesawang berwajah baharu.

Pelancaran yang berlangsung di Knowledge Hub Taman Teknologi Anggerek Desa itu disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.

Direka oleh bahagian interaktif MMW, MINT, platform brunei.events telah berkembang sejak ia mula dilancarkan buat pertama kali.

Ia juga mendapatkan pengesahan daripada KSSUP pada tahun 2017, di mana ia menawarkan pihak penganjur untuk mempromosi dan menjual tiket-tiket dan juga produk mereka secara atas talian.

Sejurus pelancaran itu, Pengurus ICT, MINT, Awang Shukri bin Haji Damit menerangkan mengenai laman sesawang berkenaan yang dihasratkan dapat memberi keselesaan bukan saja kepada rakyat dan penduduk di negara ini malah untuk para pelancong yang datang ke negara ini.

Perkembangan ini juga bersesuaian dengan peredaran masa ketika ini, sekali gus dapat bersaing dengan era digital yang sentiasa berubah.

Awang Wardi ketika melancarkan wajah baharu brunei.events.