Laman sesawang CCBD, garis panduan dilancar

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Bagi meningkatkan kefahaman dan kepatuhan peniaga untuk menjauhi amalan-amalan anti-persaingan yang dilakukan secara kolektif dalam kalangan peniaga, Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam (CCBD) telah melancarkan laman sesawangnya bersama empat garis panduan berkaitan penguatkuasaan Perintah Persaingan semasa Hari Mesra Pelanggan, baru-baru ini.

Pelancaran laman sesawang tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II (Kedua), Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

Menurut kenyataan yang diterima, hari ini, laman sesawang www.ccbd.gov.bn itu antaranya memuatkan mengenai maklumat larangan-larangan utama Perintah Persaingan, perkembangan mengenai aktiviti CCBD, serta mekanisme aduan dan permohonan kelonggaran.

Selain laman sesawang tersebut, Yang Berhormat Dato juga melancarkan empat garis panduan persaingan berkaitan penguatkuasaan larangan Perjanjian Anti-Persaingan atau Kartel (Bab 11) yang telah bermula tahun ini.

Garis panduan itu adalah Garis Panduan Perjanjian Anti-Persaingan, Garis Panduan Prosedur Aduan, Garis Panduan Lanjutan Tempoh Peralihan, dan Garis Panduan Kelonggaran.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew ketika melancarkan garis panduan CCBD.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai setelah merasmikan laman sesawang dan garis panduan CCBD.

Garis panduan tersebut mengandungi keterangan untuk membantu peniaga dan orang awam untuk memahami pelaksanaan dan penguatkuasaan Perintah Persaingan bagi menggalakkan pematuhan peniaga.

Contoh-contoh perjanjian peniaga yang berpotensi memberi impak negatif kepada proses persaingan dalam pasaran dan cadangan praktikal bagi pematuhan peniaga boleh didapati dalam Garis Panduan Anti-Persaingan.

Sementara, Garis Panduan Prosedur Aduan menerangkan mekanisme dan proses dalam menangani aduan.

Manakala, proses dan prosedur bagi ahli kartel untuk memecahkan perjanjian anti-persaingan sebagai ganti bagi imuniti daripada penalti kewangan turut diterangkan di dalam Garis Panduan Kelonggaran.

Garis Panduan Lanjutan Tempoh Peralihan merangkumi syarat dan prosedur bagi permohonan untuk melanjutkan tempoh peralihan bagi perjanjian anti-persaingan yang dibuat sebelum 1 Jun 2019.

Menurut kenyataan itu lagi, laman sesawang CCBD dan empat garis panduan persaingan merupakan inisiatif utama untuk para peniaga menjauhi amalan-amalan anti-persaingan terutamanya dalam penetapan harga, perkongsian pasaran, pengawalan bekalan dan kolusif tender.