Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Laman warisan seni, serunding jadi tumpuan

    TUMPAT – Projek pembangunan Kampung Laut bernilai RM40 juta melibatkan dua komponen iaitu Laman Warisan Seni dan Laman Warisan Serunding, menunjukkan impak positif buat usahawan serta penduduk sekitarnya apabila mereka tidak menang tangan menerima kunjungan pelancong.

    Malah Laman Warisan Seni yang mula dibuka sejak awal Julai tahun ini dan Laman Warisan Serunding dibuka tahun lepas, yang berada kurang 15 kilometer (km) dari bandar Kota Bharu, kini menjadi satu lagi lokasi wajib kunjung buat pelawat yang datang ke negeri Cik Siti Wan Kembang.

    Tarikan utama di Laman Warisan Seni pastinya Masjid Kampung Laut, masjid tertua di Malaysia berusia 400 tahun, yang telah dibawa kembali pulang bersama komponen asalnya seperti struktur menara, mimbar, kolah dan bedok, selepas 50 tahun dipindahkan ke Nilam Puri berikutan tapak asalnya ditenggelami air akibat banjir.

    Laman Warisan Seni turut menyediakan lima unit bengkel dan lima unit kedai untuk pengusaha memasarkan hasil kraf tangan mereka seperti wau, batik, tenun, barangan kulit serta dua unit kedai makanan dan minuman untuk kemudahan pengunjung.

    Tarikan galeri wau, masjid
    Pengusaha galeri wau Laman Warisan Seni Megat Mayuzif Mat Yusoff, 40, berkata beliau tidak menang tangan mengendalikan bengkel seni pembuatan wau sobek, iaitu wau tradisional diperbuat daripada kertas kepada pengunjung.

    Projek Laman Warisan Kampung Laut bernilai RM20 juta sudah siap sepenuhnya dan mula dibuka kepada pengunjung domestik dan antarabangsa sejak awal Julai lepas. – Bernama
    Pekerja galeri wau melakukan kerja menyobek wau bulan di Laman Warisan Seni, Kampung Laut. – Bernama
    Pengunjung Muhammad Faez Mohammad Yusoff tidak melepaskan peluang merasai pengalaman mewarnakan wau sewaktu mengunjungi Laman Warisan Seni. – Bernama
    Wan Zainuddin Wan Hamat memeriksa serunding yang sudah dimasak sebelum dibungkus untuk dijual kepada pelanggan di Laman Warisan Serunding. – Bernama

    “Di Laman Warisan Seni ini saya adakan demonstrasi pembuatan wau sobek, pengunjung dapat melihat sendiri cara-cara membuat wau sobek, seni warisan budaya masyarakat negeri ini.

    “Laman Warisan Seni memberi nafas baharu kepada aktiviti seni saya, kerana kemudahan yang disediakan amat baik dan sebagai sebuah kawasan tumpuan kehadiran pelancong dalam dan luar negara membantu saya menjana pendapatan yang lebih baik,” kata anak jati Kampung Laut itu ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

    Turut menerima tempias positif, pengusaha bot penambang Hassan Ismail, 62, yang menawarkan perkhidmatan menelusuri Sungai Kelantan dari Tambatan Diraja, Kota Bharu untuk ke Kampung Laut.

    “Dahulu bot penambang memang merupakan pengangkutan utama dan menjadi pilihan penduduk sekitar Kampung Laut ini untuk ke Bandar Kota Bharu dan sebaliknya, seiring dengan perubahan semasa perkhidmatan ini sudah kurang menjadi pilihan.

    “Namun sejak Laman Warisan Seni dan Laman Warisan Serunding beroperasi, jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan saya semakin bertambah khususnya pada hari minggu dan cuti umum,” katanya yang mengenakan bayaran RM5 untuk setiap perjalanan pergi dan balik.

    Seorang penjawat awam dari Teluk Intan, Perak, Muhammad Faez Mohammad Yusoff, 31, berkata beliau yang datang bercuti ke Kelantan, mengambil kesempatan untuk singgah melawat Laman Warisan Seni khususnya untuk melihat Masjid Kampung Laut.

    “Saya tahu mengenai sejarah masjid tersebut menerusi beberapa bahan bacaan dan juga pernah melihat dokumentari mengenainya.

    “Pengalaman di Laman Warisan Seni ini amat menarik dan saya agak teruja, kerana selepas melawat masjid itu saya dapat melakukan aktiviti mewarna wau bulan di bengkel yang disediakan di sini,” katanya.

    Serunding tradisional
    Kampung Laut juga terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan dan pelancong sebagai pusat penghasilan serunding, pastinya kunjungan tidak lengkap jika tidak membeli makanan tradisional itu.

    Laman Warisan Serunding menyediakan 11 unit kedai bagi pengusaha tempatan yang menghasilkan serunding, dodol serta produk-produk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), untuk memasarkan hasil jualan mereka.

    Pemilik Suzara Serunding Wan Zainuddin Wan Hamat, 58, berkata Laman Warisan Serunding menyediakan kemudahan yang amat baik, bukan sahaja kepada pengusaha malah kepada pengunjung.

    “Tempat ini menempatkan pengusaha serunding dan dodol Kampung Laut, jadi secara automatik kawasan ini menjadi tumpuan ramai pelancong hampir setiap hari, khususnya pada hari minggu dan cuti umum, ia sekali gus meningkatkan hasil jualan produk kami.

    “Selain kedai untuk memasarkan produk, kilang pembuatan serunding kami juga berada di sini, sebagai sebuah pusat sehenti kawasan ini amat memudahkan operasi kami,” katanya yang memiliki pengalaman lebih 30 tahun mengusahakan serunding.

    Projek pembangunan Kampung Laut merupakan salah satu inisiatif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk mengekalkan tradisi perkampungan, di samping meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat melalui peluang keusahawanan. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...