KUANTAN, 30 April – Mereka yang melalui Jalan Beserah di sini, pasti tidak akan terlepas daripada lambaian watak adiwira terkenal Spiderman yang ‘setia berada’ di hadapan khemah kecil berwarna biru.
Bukan sekadar lambaian kosong, sebaliknya kehadiran Spiderman itu adalah untuk mengajak pengguna jalan raya untuk singgah membeli ‘Teh Tarik Avengers Tepi Jalan’ yang beroperasi selama sembilan jam bermula 10 pagi, setiap hari.
Di sebalik kostum Spiderman itu ialah Mohd Azlan Mohd Ashari, 25, yang mengakui idea mengenakan kostum itu timbul kerana populariti watak adiwira itu di seluruh dunia difikirkan mampu memberi pengenalan unik kepada gerainya.
“Kostum ini dibeli secara dalam talian dari Pulau Pinang dan untuk Spiderman sahaja saya ada tiga pasang kostum, selain masing-masing satu untuk watak Mickey Mouse dan Captain America yang digunakan secara berselang-seli. – Bernama