Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Antara yang menarik perhatian umum setiap kali Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam adalah logonya yang dan sudah semestinya membawa maksud yang tertentu.
Begitu juga logo Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 tahun mengandungi lima elemen yang mempunyai huraiannya tersendiri.
Panji-panji Negara Brunei Darussalam yang diletakkan di tengah-tengah logo berkenaan memberi lambang kedaulatan dan kemerdekaan negara-bangsa yang dijulang tinggi.
Sementara itu, elemen tujuh kelopak inti bunga pula melambangkan tujuh puak jati bersatu padu mempertahankan negara dan mencapai Matlamat Wawasan Brunei 2035 di mana dua jenis bunga (kuning dan hijau) melambangkan dua generasi (pra-kemerdekaan dan pasca-kemerdekaan) yang menggembleng tenaga dan fikiran dan berperanan dalam pembangunan negara.
Manakala elemen tiga lembar daun melambangkan tiga matlamat Wawasan Brunei 2035. Daun-daun ini mempunyai titik-titik embun bererti jumlah hasil pencapaian setiap matlamat wawasan iaitu rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya (tiga hasil pencapaian); kualiti hidup yang tinggi (lima hasil pencapaian); dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan (tiga hasil pencapaian).
Lapan kelopak luar bunga yang mekar pada logo tersebut pula melambangkan kedinamikan pembangunan negara-bangsa yang sentiasa bersemangat dalam mencapai kehendak pembangunan.
Sementara itu, penggemblengan tiga lembar daun dan lapan kelopak bunga itu pula memberi maksud negara sudah 38 tahun merdeka.