KAHERAH, Republik Arab Mesir, 20 Feb – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, semalam, telah mengadakan kunjungan hormat kepada Sheikh Al-Azhar, Republik Arab Mesir, Fadhilatus Sheikh Al-Imam Al-Akbar Ustaz Dr. Ahmad At-Tayyib di Pejabat Sheikh Al-Azhar, Dirasah Street, Kaherah.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), dalam kunjungan tersebut Yang Berhormat Pehin menzahirkan rasa terima kasih dan menyatakan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama dua hala yang erat dan sekian lama terjalin antara KHEU dengan Universiti Al-Azhar As-Sharif.
Rundingan antara lain membincangkan mengenai hal ehwal Islam, akidah, dakwah, perundangan Islam dan apa jua yang berkaitan dengan isu-isu yang relevan khusus bagi manfaat Negara Brunei Darussalam lebih-lebih lagi dalam mengukuhkan kefahaman umat Islam dengan aliran Mazhab Ahli Sunnah Waljamaah.
Selain itu, rundingan turut memfokuskan mengenai usaha bagi mendapatkan khidmat tenaga pakar dalam bidang Tarannum Al-Quran dan Qiraat dari Universiti Al-Azhar As-Sharif sebagai pensyarah di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah sekali gus mengoptimumkan kepakaran tersebut dalam merealisasikan hasrat Negara Brunei Darussalam untuk melahirkan lebih banyak qari dan qariah negara bertaraf antarabangsa.
Turut dibincangkan adalah mengenai peluang kerjasama bagi mendapatkan tenaga pakar dalam pendidikan Bahasa Arab khusus bagi bukan penuturnya (Arabic Language for non-Arabic Speakers) bagi membantu KHEU khususnya Jabatan Pengajian Islam dalam meningkatkan kemahiran dan penguasaan Bahasa Arab di kalangan pelajar dan tenaga pengajarnya.

KHEU seterusnya berharap agar program imam jemputan dari Universiti Al-Azhar As-Sharif bagi mengimamkan sembahyang terawih berjemaah di bulan Ramadan nanti akan dapat diteruskan sepertimana lazimnya.
Fadhilatus Sheikh Al-Imam Al-Akbar Ustaz Dr. Ahmad At-Tayyib dalam ucapannya pula menyambut baik kehadiran Yang Berhormat Pehin dan rombongan dan seterusnya berharap hubungan kerjasama di antara kedua-dua belah pihak akan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Beliau turut menasihatkan dan mencadangkan agar Negara Brunei Darussalam dapat menubuhkan sebuah Markaz Lughah Arabiah (Pusat Bahasa Arab) dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pendidikan Bahasa Arab di Negara Brunei Darussalam.
Turut menyertai Menteri Hal Ehwal Ugama ke kunjungan hormat tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Arab Mesir, Haji Abdul Kahar bin Haji Hussin; Pemangku Pengetua Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali dan atase pelajaran dan kebudayaan, Kedutaan Negara Brunei Darussalam di Kaherah.
Semasa berada di Kaherah, Yang Berhormat Pehin telah berkesempatan membuat lawatan kerja dan tinjauan ke dua buah bangunan kediaman pelajar Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir iaitu Bangunan Darussalam dan Bangunan An-Nur, yang terletak di kawasan Hayyu Sadis, Madinat Nasr.
Pada masa ini, terdapat seramai 164 orang pelajar Negara Brunei Darussalam sedang menuntut di Universiti Al-Azhar As-Syarif, 51 orang pelajar menuntut di Ma’had Qiraat Shoubra, dua orang pelajar di Universiti Kaherah, lima orang pelajar di Universiti Iskandariah dan seorang pelajar di Universiti ‘Ain Shams.