Lambang kesetiaan untuk raja dikasihi

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani

TUTONG, 25 JULAI – Pukulan hadrah disertai dengan barisan bendera kecil negara yang dikibarkan oleh murid-murid dan pelajar sekolah sepanjang jalan menuju kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong menyemarakkan lagi semangat penduduk Daerah Tutong bagi menjunjung keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-75 Tahun 2021, hari ini.

Berangkat sama ke majlis yang berlangsung di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan itu ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Keberangkatan tiba Baginda Sultan dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Ajmin bin Haji Meludin. 

Baginda Sultan berserta kerabat diraja kemudian dijunjung ke Pentas Diraja dan lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dimainkan yang diikuti dengan laungan “Daulat Kebawah Duli Tuan Patik”.

Bagi memeriahkan dan menyemarakkan sambutan sempena keberangkatan Baginda Sultan, acara pagi itu diserikan dengan sebuah persembahan khas yang penuh keceriaan, bertenaga dan warna-warni dengan tema ‘Raja Terbilang Negara Cemerlang’.

Persembahan bagi Daerah Tutong pada tahun ini melibatkan seramai 275 peserta secara keseluruhannya yang terdiri daripada sektor awam dan swasta, NGO, MPK serta individu di samping para penuntut sekolah di Daerah Tutong.

Kemeriahan suasana pada majlis itu jelas terlihat di wajah setiap rakyat dan penduduk yang tidak melepaskan peluang untuk menatap wajah Baginda Sultan serta kerabat diraja yang lain seterusnya menyembahkan sembah kehadapan majlis Baginda Sultan.

Keberangkatan Baginda Sultan bercemar duli ke Daerah Tutong merupakan suatu tradisi dan peluang keemasan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat dan penduduk daerah ini bagi menzahirkan rasa syukur dan kasih sayang yang amat mendalam serta kegembiraan terhadap seorang raja yang berjiwa rakyat, sangat prihatin dan sangat pemedulian.

Susunan majlis pada pagi tadi yang diadakan dalam normal baharu dan mematuhi garis panduan Kementerian Kesihatan tersebut berjalan dengan lancar dengan mengambil langkah-langkah bagi membendung penularan wabak COVID-19, protokol-protokol keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP).

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mencuba alat tradisional puak Dusun pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong, kelmarin.