Lamija tidak sesal galas profesion tukang jam

SARAJEVO – Pencapaian golongan wanita dalam pelbagai bidang kerjaya tidak lagi diragui dan malah ada yang berupaya menandingi golongan lelaki. Namun, sering terjadi diskriminasi jantina yang menganggap wanita tidak setanding dengan lelaki dalam memegang sesebuah jawatan atau pekerjaan.

Sebagai contoh, apabila kita mendengar saja perkataan tukang jam, secara automatiknya kita akan memikirkannya sebagai profesion bagi golongan lelaki. Akan tetapi dengan adanya emansipasi wanita cuba meningkatkan martabat golongan wanita sebanding dengan lelaki, justeru berlakunya kesamarataan gender yang membuatkan profesion itu juga dapat digalas oleh golongan wanita.

Terdapat beberapa tukang jam wanita di dunia, Lamija Saracevic dari Bosnia dan Herzegovina (BiH) merupakan salah seorang daripada mereka. Dia juga satu-satunya pembuat jam tangan wanita di negara Balkan tersebut.

Lamija adalah generasi ketiga yang mewarisi karier itu dalam keluarganya. Datuknya mempelajari bidang ini sebelum Perang Dunia II, kerana BiH adalah sebahagian daripada Empayar Austria-Hungary. Lalu datuknya membuka bengkel di sebuah bandar kecil bernama Jajce, kira-kira 150km barat laut ibu kota Sarajevo BiH.

Sabahudin, ayah kepada Lamija, menjayakan perniagaan bapanya selepas Perang Dunia II, ketika BiH menjadi salah satu dari enam republik yang membentuk bekas Yugoslavia. Ketika Lamija masih menuntut di sekolah rendah, beliau bercita-cita untuk mengikuti jejak ayahnya suatu hari nanti.

Lamija sedang sibuk memperbaiki jam di kedainya yang dipanggil Svrakino selo di Sarajevo. – Xinhua
Lamija Saracevic merupakan generasi ketiga sebagai tukang jam yang diwarisinya daripada ayah dan datuknya. – Xinhua

“Bagi saya, ia datang secara semula jadi, kerana saya kerap melawat bengkel ayah saya ketika saya masih kecil. Tidak ada yang percaya kesungguhan saya sehingga saya menamatkan sekolah rendah dan memilih Sekolah Menengah dalam Pertukangan Logam,” katanya.

Ia adalah pilihan yang sangat luar biasa untuk seorang gadis, yang juga mempunyai gred sekolah rendah yang baik.

Orang-orang di BiH sering memandang rendah pada pertukangan tangan dan melihatnya dengan cara yang buruk, seolah-olah ia adalah usaha terakhir apabila segala-galanya gagal.

Malah kerani di sekolah menengahnya memberitahunya bahawa dia boleh memilih sekolah yang lebih baik memandangkan gred yang diperolehinya.

“Mereka tidak dapat memahami bahawa saya sudah tahu apa yang saya mahu,” katanya.

Pada awal tahun 1990-an, BiH menjadi negara bebas dengan sistem politik yang kompleks. Lamija tidak hanyut dalam perjalanannya.

Sabahudin memindahkan perniagaannya ke Sarajevo dan membuka bengkelnya di pinggir bandar yang dipanggil Svrakino selo. Lamija mengalu-alukan pelanggannya yang pertama di bengkel itu pada tahun 2004, sebelum hari jadi ke-18.

Lamija mengatakan dia tidak pernah menyesal terhadap pilihan kerjayanya.

“Saya berumur 33 tahun dengan lebih daripada 15 tahun pengalaman profesional, saya hidup dalam kehidupan yang hebat dan mencintai pekerjaan saya, saya tidak tahu mengapa saya perlu menyesalinya.”

Lawatan selama sejam sering diganggu oleh pelanggan. Salah seorang daripada mereka, seorang lelaki yang berbadan tinggi pada usia 50 tahun itu memasuki premis kecil tersebut, dengan berkata beliau berharap dapat berkhidmat dengan Sabahudin.

“Maaf jika anda tidak mempercayai wanita boleh memperbaiki jam tangan anda, tetapi saya bos di sini,” kata Lamija, bangkit dan mengambil jam tangan dari tangan pelanggan.

“Ya, dia adalah bos dan saya hanya pekerja yang menggantikan bateri,” kata Sabahudin sambil ketawa dengan kuat.

Selepas pelanggan pergi, Lamija mengatakan bahawa kadang-kadang dia masih harus melawan prasangka tetapi tidak begitu kerap seperti pada hari-hari dia memulakan pekerjaannya.

“Ketika saya baru mula bekerja, orang tidak percaya saya boleh membaiki jam tangan dan menjadi seorang tukang kerana saya seorang wanita.” Lamija berkata dia menyedari bahawa pembuat jam tangan wanita sangat luar biasa bukan hanya di BiH tetapi secara global.

Lamija mengatakan bahawa dia telah berhubung dengan pembuat jam di seluruh dunia, tetapi masih belum bertemu dengan pembuat jam tangan wanita lain. – Xinhua