Lampu isyarat di Telisai mula operasi

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jan – Masalah penduduk yang tinggal di kawasan Lebuhraya Telisai-Lumut dan Jalan Telisai yang perlu membuat pusingan U sejauh lima kilometer akan berakhir apabila lampu isyarat di persimpangan tersebut mula beroperasi esok (Rabu, 4 Januari, jam 9:30 pagi).

Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan dalam satu kenyataan hari ini berkata, pembukaan persimpangan lampu isyarat itu bertujuan meningkatkan lagi tahap keselamatan di jalan raya serta pengawalan peredaran lalu lintas yang lebih efisien di kawasan tersebut.

Sehubungan itu, semua pengguna jalan raya yang terlibat diingatkan supaya memandu dengan lebih berhati-hati di samping mematuhi tanda-tanda lalu lintas demi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Para pengguna jalan raya dinasihati untuk sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur sesama pengguna jalan raya yang lain demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.