Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jan – Pemasangan lampu isyarat di persimpangan Jalan Muara – Jalan Bukit Kebun bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Meragang dan Perumahan Tanah Jambu tetapi juga dapat mengurangkan kes-kes kemalangan.
Perkara tersebut disuarakan oleh Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Kampung (MPK) RPN Meragang, Haji Sohaili bin Haji Mohidi, ketika ditemu bual Media Permata hari ini.
Di samping itu, beliau juga menyatakan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Jabatan Kerja Raya yang telah mengusahakan kemudahan lalu lintas di kawasan Jalan Muara – Jalan Bukit Kebun.
“Saya selaku warga RPN Meragang dan rakyat Negara Brunei Darussalam berasa amat bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan pihak-pihak berkenaan dalam memeduli dan memudahkan lagi penggunaan jalan raya bagi warga RPN Meragang dan Perumahan Tanah Jambu setelah kejayaan bagi pembinaan jambatan lebuh raya berdekatan PTE Meragang pada tahun lalu,” ujar Haji Sohaili.

Haji Sohaili juga menyeru kepada para pengguna agar sama-sama memanfaatkan kemudahan yang telah disediakan dan mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya bagi keselamatan dan keselesaan bersama.
“Antara yang pastinya merasakan kegembiraan atas kemudahan lampu isyarat ini adalah para penuntut dan ibu bapa yang telah merasakan sitausi kesesakan lalu lintas semasa waktu awal pagi selama lebih kurang empat tahun,” tambah Haji Sohaili.
Selain itu, Haji Sohaili juga berharap agar dapat dibangunkan sesegera mungkin bagi sebuah masjid, sekolah rendah, sekolah ugama dan sekolah menengah sebagai keperluan utama bagi menampung keramaian warga RPN Meragang dan Perumahan Tanah Jambu.
































