DA NANG, 16 Ogos – Sempena berlangsungnya Minggu Pemimpin-pemimpin Ekonomi, Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2017, lampu di jalan-jalan raya utama di bandar Da Nang Vietnam akan dipasang dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) rendah karbon, lapor agensi berita Vietnam (VNA).
Di bawah projek perintis, sejumlah 3,000 mentol voltan tinggi akan dipasang di 19 jalan utama yang merangkumi lima peratus keseluruhan sistem pencahayaan awam, projek dijadualkan bermula September hingga Oktober.
Projek dibiayai melalui model kerjasama pintar pihak awam dan swasta, dijangka dapat menjimatkan 1 juta kilowatt setahun iaitu sebanyak 12 peratus penggunaan tenaga menjelang 2020.
Da Nang dipilih bandar raya APEC untuk Projek Bandar Moden Rendah Karbon pada mesyuarat tenaga APEC ke-44 di Washington pada 2012.
Bandar itu juga merancang mewujudkan motosikal berkuasa bateri, penggunaan tenaga boleh baharu, sistem metro dan sistem bas alihan cepat sebagai langkah merealisasikan Da Nang sebagai sebuah bandar hijau serta rendah karbon menjelang 2025. – Bernama