Lampu ‘kucing robotik’ daripada kayu

Oleh Amri HTZ

LED merupakan lampu yang jimat tenaga dengan 90 peratus kurang tenaga diperlukan berbanding lampu gas pijar. Penggunaannya dalam kehidupan sehari-hari telah memberikan pengaruh yang amat besar dalam penjimatan tenaga. Walaupun dengan penggunaan tenaga yang rendah, ia juga mampu menandingi cahaya yang dikeluarkan oleh lampu konvensional. Selain digunakan untuk menerangi keseluruhan ruangan rumah, ia juga terbuat dalam ukuran kecil bagi penggunaan lain seperti meja belajar. Ikuti projek DIY kali ini untuk mereka lampu LED dikuasakan hanya menggunakan power bank.

Barangan

Untuk mereka lampu berbentuk kucing robotik ini, beberapa barangan yang diperlukan ialah kepingan kayu 2″x1″, kepingan papan berketebalan 6mm, lampu LED dengan kekuatan 5v (berbentuk empat segi dengan ukuran 5″x5″), akrilik 4mm, gam kayu, gam silikon, skru kayu, rod berulir berukuran 6mm (threaded rod), wing nuts, washers, wayar (braided wire), suis lampu, mesin gerudi, mesin pemotong kayu, mesin pemotong besi, kertas pasir 400 grit, pisau ultiliti, pengepit kayu dan mata gerudi.

Kreativiti

Kepingan kayu 2″x1″ yang telah disediakan akan dipotongkan dengan ukuran yang diperlukan menggunakan mesin pemotong kayu. Kayu-kayu tersebut akan dipotongkan kepada 10 bahagian dengan dua batang bahagian badan berukuran 310mm panjang, dua batang bahagian kaki depan (260mm), dua batang bahagian kaki belakang (230mm), dua batang bahagian telinga (100 mm) dan masing-masing sebatang untuk bahagian ekor (160mm) dan bahagian leher (100mm).

Setelah memotongkan kesemua bahagian lampu tersebut, kesemua kayu bahagian kaki dan telinga akan dipotongkan dengan sudut mencondong pada bahagian hujung kayu. Tetapkan mata mesin pemotong kayu kepada sudut 60 darjah dan potongkan salah satu bahagian hujung kesemua kayu tersebut dengan ukuran 15mm. Tujuan bahagian ini dipotongkan dengan bentuk mencondong adalah untuk memberikan hasil akhir yang lebih realistik di mana keadaan badan lampu nanti akan meniru bentuk seekor kucing.

Apabila kesemua kayu telah dipotongkan, ratakan permukaan kayu sambil menumpukan bahagian yang dipotong, bagi menghasilkan sudut potongan yang membulat sekali gus mencantikkan lagi rekaan. Gunakan kertas pasir yang tidak terlalu kasar yang boleh mencalarkan permukaan kayu.

Potongan kayu untuk bahagian-bahagian lampu dengan ukuran yang tertentu.
Langkah terakhir memasangkan kepala lampu menggunakan skru pada bahagian dalam.
Proses mencantumkan kepala lampu menggunakan gam kayu dan pengepit kayu.
Langkah pemotongan rod berulir menggunakan mesin pemotong besi.
Langkah pemasangan keseluruhan bahagian lampu menggunakan rod berulir.

Langkah seterusnya ialah memotongkan rod berulir dengan ukuran yang diperlukan. Menggunakan mesin pemotong besi, potong rod yang disediakan dengan ukuran 5″ dan 2″ panjang dengan kedua-duanya untuk dua batang. Siap memotongkannya, kedua-dua bahagian hujung rod tadi akan dibersihkan juga menggunakan pemotong besi bagi memastikan tidak ada sudut tajam yang mampu mencederakan anda.

Sementara untuk bahagian kepala lampu, papan yang telah disediakan akan dipotongkan kepada empat keping dengan bentuk isosceles trapezoid. Ukuran yang diperlukan di sini ialah 5″ lebar salah satu sudut hujung dan 6″ untuk sudut hujung satu lagi. Manakala untuk panjang bentuknya, 7″ diperlukan dengan potongan sudut ini perlulah dilakukan dengan sudut 45 darjah. Sudut potongan ini direka bagi memastikan proses percantumannya nanti menjadi mudah selain nampak lebih profesional.

Keempat-empat keping papan ini kemudiannya perlu dicantumkan menggunakan gam kayu. Dengan menyapukan keseluruhan permukaan cantuman menggunakan gam, kekalkan kedudukan menggunakan pengepit kayu atau menggunakan stapler (nail gun). Berikan masa untuk gam mengering lebih kurang 24 jam sebelum mengendalikannya untuk langkah seterusnya.

Potongan kayu untuk bahagian-bahagian badan lampu tadi akan ditebuk bahagian hujungnya dengan mata gerudi berukuran 6mm. Untuk kayu bahagian badan (dua batang) akan ditebuk kedua-dua bahagian hujung pada jarak 1″ daripada bahagian hujung kayu. Sementara bahagian kaki dan leher, sudut hujung kayu yang dipotong mencondong tadi akan ditebuk dengan jarak 1″ daripada bahagian hujung kayu sementara bahagian leher, pilih salah satu bahagian hujung. Lubang yang ditebuk ini merupakan tempat untuk memasangkan rod berulir dengan bahagian hujung kedua-duanya akan dipasangkan wing nut.

Untuk bahagian kepala lampu, bahagian depan (bahagian berukuran 6″) akan dipasangkan dengan akrilik berukuran 5 ¼”. Ukuran akrilik yang dipotongkan dengan ukuran yang lebih kecil di sini adalah untuk memastikan ia boleh ditempatkan di bahagian kepala lampu dengan sudut yang lebih besar. Potongkan akrilik menggunakan mesin pemotong kayu dan kekalkan kedudukannya menggunakan silikon.

LED yang telah disediakan tadi akan dipasangkan ke bahagian dalam kepala lampu dan dikekalkan juga menggunakan gam silikon. Sebelum mengekalkannya, pasangkan terlebih dahulu bahagian telinga lampu dan tebuk lubang pada bahagian bawah bagi akses wayar LED.

Setelah memasangkan kesemua bahagian lampu (badan, kaki, ekor, leher) menggunakan rod berulir, kini anda hanya perlu memasangkan kepala lampu pada kayu bahagian leher menggunakan skru. Selain itu, untuk bahagian penutup kepala lampu, potongkan papan berukuran 9.8sm x 9.8sm dan cantumkan menggunakan gam kayu.

Langkah terakhir adalah menyapukan keseluruhan permukaan kayu menggunakan wood oil atau wood mineral bagi memastikan kayu terlindung daripada serangan serangga perosak selain untuk menimbulkan ira-ira kayu yang tersembunyi.

Dengan rekaan yang unik ini, ia pasti akan sesuai diletakkan di mana-mana ruangan atau tempat di rumah anda sekali gus mampu menyerikan lagi ruangan tersebut. Selamat mencuba!