Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lampu rumah api mini

    Oleh Amri HTZ

     

    BAGI seseorang yang telah memiliki rumah idaman, setentunya mereka akan berusaha keras untuk menghiasinya dengan pelbagai jenis hiasan untuk memuaskan diri. Namun bagi sesetengah individu, ‘perhiasan’ yang digunakan di sesetengah ruangan mempunyai maknanya yang tersendiri. Ada di antara mereka lebih menyukai perhiasan yang ‘satu-satunya’ yang tidak mungkin boleh didapatkan di pasaran dengan cara merekanya sendiri. Oleh itu, sebagai salah satu idea, reka lampu menara api yang mudah menggunakan beberapa peralatan dan barangan dengan mengikuti langkah-langkah di bawah ini.

    Barangan yang diperlukan

    Bagi mereka lampu ala rumah api ini, beberapa barangan penting yang diperlukan ialah kadbod berbentuk silinder (bekas makanan), batu-batu kecil (akuarium), papan lapis berukuran 0.5mm, mentol LED, wayar, simen putih, plag dua pin, papan MDF 5mm, kayu penyucuk sate dan kayu aiskrim. Sementara peralatan yang diperlukan adalah hot glue gun, cat akrilik, cat kayu, mesin gerudi, mesin gergaji jig, gergaji besi, pengepit kayu, mata gerudi berukuran 2mm dan 35mm dan gam PVA.

    Langkah-langkah pembuatan

    Pada langkah awal pembuatan, potongkan kadbod berbentuk silinder menjadi ketinggian yang diperlukan menggunakan pisau pemotong. Pada kebiasaannya, jika bekas yang digunakan merupakan bekas makanan (kerepek), ketinggiannya adalah cukup memadai. Manakala jika anda menggunakan bekas kadbod penggulung karpet, maka anda perlu memotongnya dengan ketinggian yang diperlukan.

    Setelah memotongnya, lekatkan pada bahagian luar kadbod berbentuk silinder tersebut dengan batu-batu kecil. Di sini, kreativiti diperlukan untuk menonjolkan lagi rekaan anda. Tinggalkan sedikit bahagian yang tidak dilekatkan dengan batu menggunakan hot glue gun untuk bahagian pintu dan jendela menara.

    Jendela dan pintu menara yang diperbuat daripada kertas kadbod.
    Bahagian bumbung menara yang direka menggunakan kertas kadbod.

    Pada langkah kedua, reka bentuk pintu dan jendela menara menggunakan kertas tebal atau lebihan kadbod. Untuk memberikan lebih detil pada rekaan tersebut, tiru bahagian rangka luar setiap rekaan yang mampu menonjolkan lagi bahagian tersebut. Selesai merekanya, lekatkan menggunakan hot glue gun pada bahagian yang dibiarkan kosong tadi. Jika terdapat kekurangan atau kekosongan setelah ia dilekatkan, tutup bahagian tersebut dengan batu-batu kecil.

    Langkah seterusnya adalah mereka bahagian bumbung menara api tersebut. Gunakan kertas tebal atau kadbod dengan bentuk seperti kon. Bagi mengekalkan bentuk yang telah direka, lekatkan keseluruhan permukaan menggunakan pita perekat berukuran lebar.

    Bagi bahagian ‘api’ menara, botol kaca daripada bekas makanan dan sebagainya akan diperlukan dalam projek ini. Dalam langkah ini, anda perlu memotong botol tersebut menggunakan pemotong khas kaca dengan berhati-hati di mana bahagian bawah botol diperlukan pada projek ini (salah satu bahagian yang tertutup bahagian hujungnya). Setelah memotongkannya, haluskan permukaan potongan menggunakan kertas pasir.

    Langkah seterusnya adalah mereka bahagian tapak atau asas lampu tersebut. Dengan menggunakan papan MDF atau papan lapis berukuran tebal (0.5mm), reka bentuk bulatan dan potong menggunakan mesin jigsaw. Pada permukaan papan tersebut, di bahagian luaran, lapan lubang berukuran 2mm diperlukan dan untuk bahagian luaran kaca botol (tengah) akan ditebuk dengan empat lubang berukuran juga 2mm.

    Manakala pada bahagian tengah papan tersebut, lubang 30mm akan diperlukan untuk bahagian lampu. Jika anda tidak memiliki mata gerudi dengan ukuran yang diperlukan, gunakan mesin gergaji jig untuk merekanya.

    Kadbod berbentuk silinder daripada bekas kerepak digunakan dalam projek ini.
    Botol kaca yang telah dipotong akan digunakan untuk bahagian lampu.
    Batu-batu kecil daripada akuarium digunakan untuk bahagian luaran menara.
    Bahagian luaran kadbod berbentuk silinder yang telah dilekatkan menggunakan batu-batu kecil.

    Beralih ke bahagian kadbod berbentuk silinder tadi, pada bahagian tengah (bahagian atas) diperlukan bahagian untuk ‘kaki’ lampu. Ini memerlukan anda untuk mengukur saiz kadbod silinder yang digunakan dan kemudian dilakar pada papan lapis yang kemudiannya dipotong menggunakan mesin gergaji jig. Pada bahagian tengah papan lapis tersebut, lubang berukuran 35mm diperlukan untuk memasukkan mekanisme lampu.

    Setelah siap mereka kaki untuk lampu tersebut, lekatkan pemegang lampu menggunakan gam. Kekalkan kedudukan setelah menyapukan gam menggunakan pengepit kayu dan biarkan gam mengering dalam beberapa jam (mengikut cara guna yang telah ditetapkan pada gam tersebut). Apabila gam mengering, pasangkan kesemua bahagian lampu tersebut pada bahagian tapak lampu yang telah direka. Bagi bahagian menara (yang dilekatkan batu) sapukan bahagian luarannya menggunakan simen putih untuk memberikan gambaran sebenar menara sementara pada bahagian bumbung menara, warnakan menggunakan warna yang disukai.

    Sementara menunggu cat mengering, anda boleh melakukan langkah seterusnya iaitu melekatkan bahagian yang telah ditebuk untuk kaca lampu tadi menggunakan penyucuk sate. Potongkan kayu-kayu sate tersebut menggunakan playar atau pisau pemotong mengikut ketinggian kaca yang digunakan, dalam hal ini, kaca empat inci digunakan dan kayu penyucuk tersebut berukuran lebih kurang 10.5sm diperlukan.

    Setelah keseluruhan bahagian tersedia, lekatkan bahagian bumbung rumah api tersebut menggunakan hot glue gun pada bahagian kayu-kayu tadi. Dengan memastikan wayar lampu dan keseluruhan pemasangan selamat, pasangkan suis lampu untuk memastikan ia beroperasi. Kini anda sudah boleh meletakkannya pada satu sudut yang dirasakan sesuai dan menonjol selain anda juga boleh mengongsi rekaan tersebut melalui laman sosial anda!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda