Lampu vintaj tambah seri ruangan

Oleh Amri HTZ

Pada zaman ini, pelbagai idea boleh didapatkan melalui Internet bagi membantu menghias sesebuah ruangan di dalam rumah.

Kewujudannya juga memudahkan seorang penghias mendapatkan gambaran sesebuah ruangan yang ingin dihiasi dengan perhiasan diperlukan sebelum mendapatkannya.

Sebagai seorang yang lebih suka mendapatkan sesuatu hiasan dengan hasil titik peluh sendiri, peluang seperti ini begitu dimanfaatkan bagi menghasilkan sesuatu hiasan yang unik dan sukar untuk didapatkan di pasaran.

Barangan

Untuk minggu ini, penulis akan mengongsikan salah satu idea dan cara mereka perhiasan bagi ruangan rumah. Projek mereka lampu vintaj unik ini, beberapa barangan perlu disediakan sebelum memulakan langka merekanya seperti kepingan papan, besi rod berukuran 3mm, besi angle 1″x1″ x 1/8″, besi berukuran 2″x3″, besi 2mmx2cm, mentol T9 berbentuk tiub, mekanisme lampu (wayar, soket, pemegang), mesin pemotong besi, mesin router, mesin ketam kayu, mesin kimpalan, gogel dan sarung tangan kimpalan, pakaian pelindung diri, wood oil, mesin pemotong kayu atau gergaji, pahat kayu, mata gerudi berdiameter 32mm, mesin jigsaw dan blow torch serta tukul.

Langkah

Langkah pertama pembuatan adalah memotongkan papan yang disediakan untuk dijadikan bahagian permukaan lampu. Dua keping papan berukuran 1″x3″ dengan kepanjangan 20″ diperlukan bagi merekanya dan di sini anda mempunyai pilihan sama ada mahu meratakan permukaan papan atau hanya membiarkannya dengan bentuk asalnya memandangkan tema bagi rekaan ini kedesaan (rustic). Jika anda mahu rekaan yang nampak lebih moden, ratakan permukaan papan menggunakan ketam kayu atau mesin kertas pasir. Cantumkan keseluruhan papan menjadi sekeping menggunakan gam kayu dan pengepit kayu.

Papan yang perlu diratakan bahagian sisinya sebelum mencantumkannya menjadi sekeping.
Rangka bahagian luaran lampu ketika dalam proses mencantumkannya menggunakan mesin kimpalan.
Bahagian kaki lampu yang telah ditebuk menggunakan mata gerudi yang diameternya 2mm lebih besar daripada mentol.
Paku hasil rekaan sendiri menjadikan rekaan lebih unik.

Sementara untuk rangka luaran bagi permukaan lampu tadi akan dibuat menggunakan angle iron. Gunakan pita pengukur untuk mengukur ukuran panjang 20″, tandakan menggunakan pen penanda, kemudian potongkan bahagian tersebut menggunakan mesin pemotong besi (grinder) dengan sudut hujung 45 darjah pada kedua-dua sudut hujung.

Dua potongan besi dengan ukuran sama diperlukan dalam projek ini untuk bahagian sisi rangka luar. Manakala untuk bahagian atas dan bawah rangka, dua bahagian angle iron dengan ukuran 9″ diperlukan untuk menjadikan rangka berbentuk segi empat tepat.

Setelah memotongkan kesemua bahagian, pateri kesemua sudut bagi mencantumkan rangka tersebut. Pastikan anda menggunakan alat perlindungan diri bersesuaian memandangkan percikan api dan besi panas yang terhasil daripada pekerjaan tersebut mampu mendatangkan kecederaan. Bagi cantuman yang kasar akibat dipateri, bersihkan permukaan tersebut menggunakan mesin grinder.

Langkah seterusnya adalah memotongkan besi berukuran 2″x3″ yang telah disediakan. Potong besi tersebut dengan ukuran panjang 5″ untuk dua bahagian dan pastikan anda membersihkan permukaan tajam terhasil daripada proses pemotongan.

Salah satu bahagian yang terbuka (lubang besi) akan ditutup menggunakan besi sama dengan cara memotongkan lebihan besi 2″x3″ yang dimiliki menjadi sekeping plat 2″x3″. Plat tersebut akan dipateri pada salah satu permukaan berlubang kedua-dua potongan besi tersebut.

Melalui besi yang sama, tebuk salah satu permukaan besi 2″x3″ menggunakan mata gerudi yang 2mm lebih besar daripada diameter mentol yang digunakan dan soket sambungan lampu (bahagian pemutar mentol). Hal ini dilakukan bagi memudahkan mentol memasuki ruangan tersebut (untuk bahagian atas) dan bagi mengetatkan kedudukan soket lampu (bahagian bawah).

Bagi bahagian sokongan untuk kaki lampu (besi 2″x3″ yang dipotong tadi) potongkan dua batang besi 2mm x 2cm yang disediakan dengan ukuran 7″ panjang. Potongan ini akan di pateri pada rangka dalam lampu di bahagian atas dan bawah kaki lampu.

Papan yang telah dicantumkan tadi akan ditebuk pada bahagian tengah dengan kedudukan 3″ daripada bahagian atas dan bawah (setiap satu). Dengan melakar bahagian luar kaki lampu pada permukaan papan tersebut, tebuk ruangan tersebut menggunakan mesin jig.

Bagi memberikan hasil akhir permukaan kayu yang lebih baik, sapukan keseluruhan permukaan menggunakan wood glue untuk menimbulkan ira-ira kayu selain menjadikannya nampak lebih berusia (tertakluk kepada warna yang digunakan). Manakala untuk keseluruhan permukaan besi, anda mem-punyai pilihan untuk melindungi permukaannya daripada karat atau hanya membiarkannya bagi menghasilkan rekaan yang lebih unik.

Dalam projek ini, paku yang akan digunakan adalah hasil rekaan sendiri. Ini bagi memberikan sentuhan akhir yang nampak lebih realistik. Besi rod yang disediakan akan dipanaskan menggunakan blow torch dan kreativiti diperlukan untuk menghasilkannya menggunakan tukul. Kepala paku dengan permukaan yang tidak rata dan berlainan, menjadikannya seolah-olah paku yang dihasilkan pada abad-abad sebelumnya sebelum teknologi tercipta.

Setelah kesemua bahagian selesai direka, rangka utama lampu akan ditebuk bagi memudahkan proses memasukkan paku untuk mengekalkan kedudukan papan. Gunakan mata gerudi bersesuaian (besar diameter paku) bagi memastikan ruangan yang ditebuk tidak kelihatan apabila paku telah dimasukkan. Untuk panjang paku (bahagian permukaan depan lampu) ukurannya tidak boleh melebihi 1″ bagi memastikan paku tidak menembusi bahagian belakang papan.

Dengan mengekalkan kedudukan permukaan papan lampu, kini anda boleh menempatkan kaki lampu pada ruangan yang telah ditebuk pada permukaan papan. Kaki lampu yang direka tanpa mempunyai bracket khusus bagi mengekalkannya adalah untuk memudahkan pemasangan mekanisme lampu selain penukaran ketika ia rosak. Walaupun sedemikian, kedudukan kaki lampu (atas dan bawah) yang telah mempunyai ruangan khusus yang direka pada permukaan papan sudah cukup kukuh untuk menempatkan mekanisme lampu. Sesudah memasangkan mekanisme lampu, kini hanya tinggal untuk awda menikmati pemandangan ruangan yang lebih menarik hasil rekaan sendiri!