Lan Solo syukur bisnes kedai runcit berkembang

Rezeki penyanyi Lan Solo dalam bidang perniagaan terus mencurah-curah apabila kedai runcit miliknya yang terletak di Puchong Prima, Selangor berpindah ke bangunan yang lebih besar.

Menurut Lan, 36, dia mengambil keputusan berpindah ke lokasi baharu kerana mahu ruang lebih luas untuk menyimpan barang jualan dan juga keselesaan pelanggan.

“Sekarang kita dah berpindah ke Bukit Puchong, lokasi kedai baharu dan lama dekat sahaja, jarakkan tak sampai 10 kilometer pun… kenapa kita pindah sebab nak kembangkan lagi perniagaan kami selepas dua tahun beroperasi.

“Kedai lama hanya satu tingkat sahaja, macam dah tak relevan sebab situlah tempat letak stok, tempat pelanggan membeli, pejabat dan sebagainya, jadi kurang selesa untuk orang ramai yang datang.

“Alhamdulillah kami dapat menyewa bangunan tiga tingkat… lokasi pun strategik dan luas untuk menyimpan barang. Kedai sebelum ini agak sempit, kurang selesa untuk pelanggan dan pekerja,” katanya kepada wartawan.

Lan Solo mengambil keputusan memindahkan kedainya ke lokasi baharu kerana mahu ruang lebih luas untuk menyimpan barang jualan dan juga keselesaan pelanggan. – Agensi

Ditanya adakah dia memilih lokasi baharu kerana pernah berdepan beberapa insiden seperti rompakan dan aduan masyarakat setempat sebelum ini, Lan memberitahu kejadian itu bukanlah penyebab utama dia berpindah.

Malah Lan berkata, kontroversi membabitkan dirinya juga tidak memberi kesan kepada perniagaan yang diusahakan bersama isteri, Nur Sheila Hassim itu.

“Dua tahun berniaga kita memang ada perancangan untuk kembangkan lagi. Sejujurnya orang buat aduan ke, kes rompak ke atau isu lain pun tak memberi kesan buruk kepada kami.

“Sebaliknya mereka menyumbang perniagaan kami menjadi lebih baik dibantu laporan media dan sebagainya. Itu juga membantu promosi kedai kami.

Pada Disember tahun lalu, Lan mengalami kerugian lebih RM500 apabila kedainya itu dirompak penjenayah. – Agensi