Lana sebak rakan Itali catu makanan

Kebiasaannya, pelakon, Lana Nordin suka berkongsi video masakan di laman Instagram (IG).

Namun, sebaliknya berlaku selepas arahan Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa, sejak minggu lalu. Ramai tertanya-tanya kenapa pelakon Biasan dan Chow Kit itu tidak lagi berkongsi resipi dan masakan, sedangkan dia dilihat suka memasak untuk keluarganya.

Membuat penjelasan menerusi IGTV, ibu kepada Gia Quinn McKienzie dan William Daud Mckienzie itu mempunyai alasan berbuat demikian.

“Saya ada terima mesej peribadi yang bertanya kenapa tak buat video masakan seperti kebiasaannya. Sebenarnya, saya ada sebab tidak melakukannya.

“Saya nak kongsi, seorang teman di Itali terkejut dengan cara orang Malaysia memasak berlebihan ketika Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa. Mereka lihat kita bebas, biarpun sudah ditetapkan hanya seorang sahaja boleh membeli makanan dan keperluan di pasar raya.

Lana Nordin menjelaskan sebab-sebab dia tidak lagi berkongsi resipi dan masakan di laman Instagram disebabkan situasi yang dihadapi sekarang. – Agensi

“Sedangkan, mereka mencatu makanan dan berjimat cermat. Mereka tidak dibenarkan keluar seperti kita. Saya sebak mendapat tahu, makan telur dua tiga biji berkongsi satu keluarga,” katanya. Lana berkata, dia harap apa yang dikongsikan tidak dilihat dari sudut negatif.

“Saya tahu kita ada hak masing-masing. Cuma, saya rasa eloklah memulakan langkah jimat cermat supaya tidak kelam kabut sekiranya berlaku situasi seperti di Itali.

“Sekalipun berada dalam rumah dan banyak aktiviti memasak dilakukan, tetapi janganlah semuanya mahu dihabiskan selagi ada stok makanan. Kita tak mampu nak jangka nasib esok lusa,” katanya. Bagi isteri Mohd Daud Mckienzie itu, dia mahu masyarakat realistik dan menyediakan payung sebelum hujan.

“Saya berdoa semoga apa yang dilalui akan berakhir dan tak menjadi lebih parah. Untungnya, kita masih boleh keluar membeli makanan dan keperluan rumah.

“Mahukah kita terjadi situasi berkurung terus dalam rumah? Jadi, memasak dengan sederhana dan jangan seperti nak buat kenduri-kendara. – Agensi