Lana tetap peran watak antagonis

Pelakon sensasi, Lana Nodin menepis tanggapan kononnya sudah tidak berminat untuk berlakon selepas dua tahun kelibatnya tidak kelihatan dalam kaca televisyen.

Mengakui rindu kembali ke lokasi penggambaran, Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hassan Nodin menegaskan minat untuk berlakon masih bersisa dan sudah pun menerima beberapa tawaran drama.

“Saya berehat panjang selepas mengandung dan melahirkan anak kedua, William Daud Mckienzie yang kini berusia dua tahun. Saya banyak menumpukan perhatian kepada keluarga dan bisnes. Lagipun, William kurang sihat, jadi fokus saya hanyalah padanya.

“Apabila sudah lama tidak berlakon, ramai yang menyangkakan saya sudah bersara, malah ada juga yang ingat saya kini menetap di luar negara. Itu tidak benar.

“Minat berlakon masih bersisa dan saya akan kembali ke lokasi penggambaran tidak lama lagi untuk membintangi drama Derhaka Cinta Jebat terbitan Suhan Movies & Trading pada penghujung bulan ini, selain beberapa drama yang menanti tarikh memasuki set,” katanya kepada media.

Membuat kemunculan ketika industri dihiasi ramai bakat baharu, mampukah pelakon berusia 40 tahun itu mampu bersaing dengan pelakon masih muda?

“Boleh bersaing atau tidak, tunggu jawapannya. Apabila sudah lama tidak berlakon, saya akan beri 200 peratus komitmen terhadap lakonan. Saya warnakan rambut untuk kelihatan lebih bergaya.

“Saya berhijab dalam drama Derhaka Cinta Jebat, tetapi memainkan peranan antagonis. Awas kepada mana-mana pelakon yang pernah pegang watak jahat, saya akan rampas kembali watak yang dipinjamkan,” seloroh Lana sambil ketawa.

Dalam perkembangan lain, pelakon filem Tokan itu bakal mengorak langkah dalam perniagaan dengan membuka kilang bakeri yang menjadi impiannya selama ini. – Agensi

Akibat sudah lama tidak berlakon, ramai yang menyangkakan Lana sudah bersara, malah ada juga yang ingat kini dia menetap di luar negara. – Agensi