Landasan kapal terbang ketiga HK siap dibina

HONG KONG, 7 SEPT – Hong Kong berjaya menyiapkan landasan kapal terbang ketiga di lapangan terbangnya hari ini pada masa apabila hab perjalanan antarabangsa yang pernah berkembang pesat itu terputus daripada sebahagian besar dunia.

Pemimpin bandar Carrie Lam mempengerusikan majlis perasmian landasan kapal terbang sepanjang 3.9 kilometer, yang mengambil masa lima tahun untuk dibina di tanah ditebus guna itu.

Disebabkan lokasi dan syarat-syarat kemasukan yang agak longgar, Hong Kong telah lama menjadi hos kepada salah satu lapangan terbang antarabangsa paling sibuk di dunia.

Namun ia berdepan persaingan yang semakin sengit daripada pesaing serantau Singapura serta lapangan terbang yang berkembang pesat di China.

Reputasi bandar sebagai hab perjalanan juga terjejas oleh pergolakan politik pada 2019, yang pada satu tahap melumpuhkan lapangan terbang. Hab perniagaan itu masih tidak dapat diakses kepada kebanyakan pelawat semasa pandemik koronavirus disebabkan ia mengamalkan beberapa langkah kuarantin paling ketat di dunia. Hampir kesemua ketibaan mesti menamatkan kuarantin mandatori seminggu hingga tiga minggu di hotel, satu tindakan yang telah mengawal koronavirus tetapi menjejas industri perjalanan. Landasan kapal terbang itu dijangka memulakan operasi pada 2022. – AFP

Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam bercakap pada satu majlis penyiapan landasan kapal terbang ketiga di lapangan terbang Chek Lap Kok di Hong Kong kelmarin. – AFP