BEIJING, 20 DIS – Perkhidmatan kereta api laluan Kunming, China dan Vientiane, Laos yang mula beroperasi awal bulan ini disifatkan sebagai satu projek contoh.
Felo Penyelidik Kanan Institut Dasar Luar Pusat Pengajian Antarabangsa Lanjutan (SAIS) Universiti Johns Hopkins, Dr David M Lampton berkata, landasan itu membolehkan China dan Laos serta lebih banyak negara Asia Tenggara menikmati perkhidmatan kesalinghubungan yang lebih luas, selain memberi manfaat kepada masyarakat di sepanjang laluan berkenaan. “Selain memberi faedah kepada Laos sendiri, perkhidmatan kereta api ini juga merentasi negara itu hingga meliputi lebih banyak wilayah.
“Kelancarannya diibaratkan seperti sungai yang menghubungkan banyak negara dan secara tidak langsung bakal merangsang pembangunan bandar-bandar di sepanjang laluan,” kata Lampton ketika berucap pada Dialog Global Center for China and Globalization (CCG) di sini, baru-baru ini.
Sarjana terkemuka Amerika Syarikat itu berpendapat, usaha China mempergiat kesalinghubungan dengan Asia Tenggara adalah demi manfaat penduduk tempatan sepanjang landasan, bukannya berniat untuk meluaskan pengaruh sendiri di rantau itu. – Bernama